Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga minyak dunia naik lebih 2%
Harga minyak dunia naik lebih 2%
HARGA minyak global meningkat lebih dua peratus dan mencatatkan kenaikan mingguan sekitar lapan peratus, selepas Russia mengumumkan rancangan mengurangkan penghasilan minyak bulan depan.
Tindakan itu diambil selepas Kumpulan Negara G7 - Britain, Canada, Perancis, Jerman, Italy, Jepun, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju mengehadkan harga minyak mentah Russia pada AS$60 ($80.82) setong.
Ia merupakan strategi Eropah dan Amerika untuk melemahkan pendapatan Kremlin dan mengurangkan pembiayaannya - tanpa mengganggu sepenuhnya bekalan global pada masa inflasi melambung tinggi.
Minyak mentah Brent North Sea meningkat AS$1.89 atau 2.2 peratus kepada AS$86.39 setong sementara penanda aras Amerika, West Texas Intermediate (WTI) meningkat kepada AS$79.72 semalam.
Minyak mentah Brent menyaksikan kenaikan mingguan 8.1 peratus, sementara WTI pula kenaikan 8.6 peratus.
Russia merancang mengurangkan pengeluaran minyak mentahnya bulan depan sebanyak 500,000 tong sehari, atau kira-kira 5 peratus daripada pengeluaran, kata timbalan perdana menteri Russia, Encik Alexander Novak.
Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak dan sekutu (Opec+) tidak merancang sebarang tindakan selepas Russia membuat pengumuman itu.
"Dalam tempoh jangka pendek (tindakan Russia) tidak dijangka memberi kesan yang banyak, tetapi di masa hadapan apabila permintaan minyak dunia mula meningkat, ia boleh membawa kepada defisit bekalan," kata Encik Andrew Lipow, presiden Lipow Oil Associates.
Kebimbangan ekonomi masih mempengaruhi harga minyak terutama dengan permintaan yang masih lemah dari China dan juga kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi di Amerika. - Reuters.