PETALING JAYA: Harga sayur-sayuran dan makanan laut kini semakin mahal di Malaysia berikutan berkurangnya bekalan dalam musim hujan.
Sekiranya keadaan cuaca buruk berterusan, harga bekalan keperluan harian itu dijangka meningkat lebih tinggi lagi menjelang musim perayaan Tahun Baru Cina.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Peladang Sayur Malaysia, Encik Lim Ser Kwee, berkata hasil tanaman merosot berikutan hujan lebat Monsun Timur Laut.
"Jika hujan berterusan dalam masa dua minggu ini, pastinya harga sayur-sayuran akan terus meningkat menjelang Tahun Baru Cina," katanya semasa dihubungi kelmarin.
"Pembeli dari Singapura sudah mula datang untuk membeli sayur-sayuran di pasar-pasar kita semasa cuti sekolah di negara itu sekarang. Maka bekalan di pasaran berkurangan," katanya.
Presiden Persatuan Pemborong Sayur-Sayuran Kuala Lumpur, Encik Wong Keng Fatt, berkata harga sayur-sayuran sudah mula meningkat 10-20 peratus dan akan terus naik jika berlaku banjir.
"Harga mula naik minggu ini tetapi kenaikan sebenar belum lagi terjadi. Harga bekalan akan menjadi lebih mahal dalam minggu-mingu mendatang jika hujan berterusan," katanya.
"Apatah lagi jika berlaku banjir bulan ini dan bulan depan, maka tentunya bekalan sayur-sayuran akan terjejas, memicu kenaikan harga hinggalah masa perayaan Tahun Baru Cina," ujarnya.
Encik Wong berkata, harga borong sayur-sayuran sekarang naik, harga sawi RM5.50 ($1.70) berbanding harga biasa RM3.
"Ini baru harga borong, maka harga runcit akan jadi lebih tinggi," ujarnya.
Pengarah syarikat pembekal makanan laut, North Ocean Holdings, Cik Candice Goh, berkata harga ikan meningkat berikutan cuaca buruk dan permintaan yang tinggi selepas pandemik serta kos lebih tinggi bagi mendapatkan pekerja asing.
Majlis dan himpunan besar-besaran seperti perkahwinan, jamuan malam syarikat dan sambutan ulang tahun selepas kelonggaran kawalan Covid-19, menyebabkan permintaan makanan laut melonjak, dan berkemungkinan besar akan menjadi lebih mahal menjelang Tahun Baru Cina ini.
Cik Goh menambah, corak perubahan cuaca sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjejas hasil tangkapan para nelayan.
"Beberapa tahun lalu, sekitar September dan Oktober adalah masa kemuncak musim makanan laut, tetapi sekarang masih hujan dan angin kencang menjejas kegiatan nelayan," ujarnya.
"Satu lagi sebab adalah kesulitan dan kos tinggi mendapatkan pekerja asing, terutama nelayan berkemahiran, kebanyakan dari Thailand, berikutan nilai mata wang kita," jelasnya.
Sementara itu, pengasas ladang pertanian organik di Melaka, telah dapat mengelakkan daripada menaikkan harga bekalannya sejak lima tahun lalu kerana beliau menjual langsung kepada pengguna.
Encik Kenn Wai, yang mengendalikan Ladang Agro Bright, berkata punca utama kenaikan harga adalah para pengedar sayur-sayuran.
"Petani tidak mudah menjual dengan harga yang tinggi, para pengedah sebenarnya yang mengawal harga pasaran," kata Encik Wai. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg