CHIANG MAI: Sebuah helikopter berwarna oren terang meluncur laju merentasi hutan tebal utara Thailand, membawa misi penting — memadamkan kebakaran hutan yang semakin marak dan menambah parah pencemaran udara di Chiang Mai, destinasi pelancongan utama negara itu.
Di sebalik kokpit helikopter buatan Russia itu ialah Kapten Chutaphorn Phuangchingngam, satu-satunya juruterbang wanita dalam pasukan pencegahan bencana kebangsaan Thailand. Dengan pengalaman lebih 20 tahun di udara, beliau mengemudi helikopter melalui asap tebal yang menyelubungi kawasan hutan yang terbakar.
“Kami gunakan helikopter untuk padam kebakaran di kawasan yang sukar dicapai, terutamanya di kawasan pergunungan,” kata Kapten Chutaphorn kepada AFP.
Helikopter yang dikendalikan oleh beliau bersama enam anggota kru itu berulang-alik merentasi Empangan Huai Bok, mengambil 3,000 liter air setiap penerbangan sebelum menerbangkannya ke zon kebakaran yang terletak dua kilometer dari situ, meliputi kawasan lebih 1.6 hektar.
Kebakaran hutan kini bukan sahaja mengancam hutan simpan Thailand yang berharga, tetapi turut memburukkan lagi pencemaran udara yang sedia membimbangkan. Menurut IQAir, Chiang Mai berada pada tangga keenam dalam senarai bandar paling teruk pencemaran udaranya di dunia pada pagi 27 Mac.
Tahap partikel halus berbahaya PM2.5 didapati hampir 15 kali ganda lebih tinggi daripada had yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Gabenor Chiang Mai telah mengeluarkan amaran agar penduduk tidak keluar rumah tanpa perlindungan, manakala hospital melaporkan peningkatan kes penyakit berkaitan saluran pernafasan.
Kebakaran hutan ini juga bukan fenomena terasing. Ia turut melanda beberapa kawasan lain seperti Korea Selatan, Jepun dan California, Amerika Syarikat. Walaupun puncanya pelbagai, perubahan iklim dikatakan memainkan peranan besar apabila suhu lebih panas dan cuaca kering menjadikan kawasan hutan lebih mudah terbakar.
Kerajaan Thailand telah mengharamkan pembakaran terbuka oleh petani sejak awal tahun 2025 ini. Namun menurut Ketua Jabatan Pencegahan dan Pengurusan Bencana Alam Chiang Mai, Encik Dusit Pongsapipat, penguatkuasaan masih lemah. “Masih ramai petani yang terus membakar ladang mereka meskipun diharamkan,” katanya.
Encik Danaipat Pokavanich, aktivis udara bersih yang terlibat dalam penggubalan Rang Undang-Undang Udara Bersih Thailand, memuji usaha bomba namun menyifatkan ia sebagai penyelesaian jangka pendek. “Undang-undang sahaja tidak cukup untuk hentikan pembakaran,” katanya.
Beliau mencadangkan insentif kewangan kepada petani untuk menggalakkan kaedah pertanian lestari dan pelaburan dalam teknologi bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembakaran.
Sementara undang-undang dan teknologi masih belum menyelesaikan masalah di akar umbi, Kapten Chutaphorn dan pasukannya kekal bersedia untuk terus menyelamatkan bumi dari udara.
“Menerbangkan helikopter untuk misi bencana sangat berbeza daripada membawa penumpang,” katanya. “Asap tebal buat kami hampir tidak nampak apa-apa.”
Namun semangat Kapten Chutaphorn tidak pernah luntur, meskipun langit kini dipenuhi asap, bukan lagi awan impian masa kecilnya.
“Dulu saya cuma mahu sentuh awan,” katanya sambil tersenyum selepas helikopter mendarat. “Tapi sekarang, yan ada cuma asap.” - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg