KUALA LUMPUR: Mayat juruterbang dan bangkai helikopter Eurocopter EC120B yang terhempas di Bidor, Perak, pada Ahad (11 September), ditemui berhampiran Kampung Kenangan pada 8.18 pagi keesokannya. Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Chester Voo, berkata pesawat pendaftaran N409HH itu ditemui oleh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), RESCUE01, lapor Berita Harian Malaysia, Isnin (12 September) "Combat Air Rescue (CAR) TUDM berada di darat untuk membantu membawa mangsa dari lokasi kejadian. "RESCUE01 membawa mangsa dan mendarat di Padang Sekolah Anderson jam 10.30 pagi sebelum dibawa ambulans ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh, Perak. "Bagaimanapun, mangsa tidak sedarkan diri ketika misi menyelamat dijalankan," katanya dalam kenyataan. Kapten Voo berkata, penyelarasan mencari dan menyelamat (SAR) di Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) tamat sebaik semua unit SAR kembali ke pangkalan dengan selamat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg