HIROSHIMA: Jepun memperingati serangan bom atom 80 tahun lalu di Hiroshima pada 6 Ogos dengan upacara mengingatkan dunia tentang kehancuran dan penderitaan yang dialami penduduk Jepun.
Upacara berkabung diadakan pada jam 8.15 pagi – tepat pada waktu ketika pesawat Amerika Syarikat Enola Gay menjatuhkan bom diberi gelaran ‘Little Boy’ di bandar barat Jepun pada 6 Ogos 1945.
Pada pagi yang terik, beratus-ratus pegawai berpakaian hitam, pelajar dan mangsa yang terselamat meletakkan bunga di tugu peringatan, berlatar belakangkan puing-puing runtuhan bangunan.
Dalam ucapan di upacara itu, Mayor Hiroshima, Encik Kazumi Matsui, memberi amaran tentang “trend yang semakin pantas ke arah memperkukuh ketenteraan di seluruh dunia”, berlatar belakangkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan huru-hara di Timur Tengah.
“Perkembangan ini secara terang-terangan mengabaikan iktibar yang sepatutnya dipelajari oleh masyarakat antarabangsa daripada tragedi yang amat bersejarah ini,” katanya.
Perdana Menteri Jepun, Encik Shigeru Ishiba, berkata ia adalah misi negaranya untuk “menerajui... ke arah dunia tanpa senjata nuklear”.
Angka kematian terakhir dalam serangan ke atas Hiroshima mencecah sekitar 140,000 orang yang terbunuh akibat letupan bom atom dan kesan radiasi.
Tiga hari selepas pengeboman, satu lagi bom atom membunuh 74,000 orang di Nagasaki menyebabkan tentera Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos, menamatkan Perang Dunia Kedua.
Hari ini, Hiroshima adalah sebuah metropolis yang berkembang maju dengan 1.2 juta orang tetapi sejarah hitam yang dahsyat itu terus diingati ramai.
Upacara tersebut dihadiri wakil-wakil daripada 120 negara dan wilayah termasuk buat kali pertama, Taiwan dan Palestin.
Amerika, yang tidak pernah memohon maaf secara rasmi atas pengeboman itu, diwakili oleh dutanya ke Jepun. Russia dan China tidak menghantar wakil.
Nihon Hidankyo, pertubuhan akar umbi yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 2024, mewakili mangsa-mangsa yang terselamat atau dikenali sebagai hibakusha.
Sehingga Mac, terdapat seramai 99,130 hibakusha, dengan purata umur 86 tahun, menurut Kementerian Kesihatan Jepun.
“Saya mahu utusan asing melawat muzium peringatan keamanan dan memahami apa yang berlaku,” kata pengerusi bersama kumpulan itu, Encik Toshiyuki Mimaki.
Paus (Pope) Leo XIV berkata dalam satu kenyataan bahawa “dalam masa ketegangan dan konflik global yang semakin meningkat, Hiroshima dan Nagasaki kekal sebagai “peringatan hidup tentang kehancuran mendalam yang ditimbulkan oleh senjata nuklear”. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg