Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hishammuddin digantung 6 tahun oleh Umno

Jan 29, 2023 | 05:30 AM



PETALING JAYA: Dalam satu catatan samar-samar di laman Facebook semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menulis "kejahatan mereka tidak boleh menyebabkan kita kehilangan kebaikan kita".



Tulisan itu disertakan dengan gambarnya memujuk seorang ahli Wanita Umno yang menangis.



Ini merupakan kali pertama ahli parlimen Sembrong itu membuat kenyataan awam sejak pengumuman beliau digantung daripada parti yang dimulakan datuknya, Datuk Onn Jaafar, pada 1946.



Tarikh gambar itu diambil tidak diketahui, tetapi pos itu dipercayai merujuk kepada penggantungannya selama enam tahun oleh majlis tertinggi Umno kelmarin.



Datuk Seri Hishammuddin, yang cukup lantang menentang Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dipercayai salah seorang daripada 10 Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menandatangani sokongan untuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadi Perdana Menteri ke-10 selepas pilihan raya umum lalu.



Kumpulan itu bagaimanapun menarik kembali sokongan itu setelah pengerusi BN dan presiden Umno, Datuk Ahmad Zahid, berkata BN akan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.



Keputusan majlis tertinggi Umno kelmarin untuk "membersihkan parti" mengundang kritikan daripada beberapa bekas anggota Umno, termasuk mantan Setiausaha Agung, Tan Sri Annuar Musa, yang berkata ia akan membawa akibat yang menimpa Umno sendiri.



Beliau merujuk kepada pemecatan dan penggantungan 44 ahli, termasuk bekas Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, dan bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.



"'Pembersihan' yang mereka lakukan akan hanya menghasilkan lebih banyak kotoran kerana punca sebenar kotoran kekal berpaut dalam parti.



"Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yang mereka reka sendiri biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka," katanya.



"Mereka mereka pembohongan dan akhirnya percaya pembohongan sendiri. Dan sesiapa yang cuba berkata yang benar, itu semua akan digelar pengkhianat," kata Tan Sri Annuar, tanpa menyebut nama sesiapa.



Bekas veteran Umno itu telah dipecat Disember lalu selepas dituduh mencemarkan nama baik parti tersebut.



Beliau turut bersimpati dengan mereka yang baru dipecat daripada Umno.



"Banyak lagi ikhtiar ada di hadapan kita, yang penting kita kekal berprinsip, berani berkata benar, dan sentiasa berjuang demi asas dan matlamat perjuangan yang betul. (Demi Islam, Bangsa dan Tanahair)," tulisnya dalam satu catatan Facebook.



Beliau berkata Umno akhirnya akan menemui kejatuhannya apabila anggota mengundur diri daripada parti secara beramai-ramai.



Beliau berkata rakyat Malaysia sudah pun memberi tanda jelas bahawa mereka tidak lagi menyokong Umno tetapi pemimpin tertinggi parti itu enggan mengakuinya kerana mereka menafikan dan akan menyalahkan semua orang kecuali diri mereka sendiri.



"Berilah Umno kepada mereka untuk jadikan perisai peribadi dan perniagakan sebagai syarikat sendirian berhad mereka.



"Perjuangan tetap kita teruskan, cara kita. Insya-Allah," kata Tan Sri Annuar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >