Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

HK kesan varian Covid-19 yang tular di Afrika Selatan

Nov 27, 2021 | 5:30 AM
DAPATKAN VAKSIN: Orang ramai sedang beratur di luar pusat vaksinasi Covid-19 di Cape Town, Afrika Selatan, bagi mendapatkan suntikan vaksin. - Foto REUTERS
DAPATKAN VAKSIN: Orang ramai sedang beratur di luar pusat vaksinasi Covid-19 di Cape Town, Afrika Selatan, bagi mendapatkan suntikan vaksin. - Foto REUTERS -

HONG KONG: Hong Kong telah mengesan satu varian koronavirus yang baru dikenal pasti dan sedang menular di Afrika Selatan dan telah mendorong Britain melarang penerbangan dari beberapa negara Afrika.

Varian baru itu, yang dinamakan B.1.1.529, ditemui awal bulan ini pada dua lelaki yang dikuarantin secara berasingan di Hotel Lapangan Terbang Regal di Chek Lap Kok, dedah penyiar awam Hong Kong RTHK kelmarin.

Pusat Perlindungan Kesihatan (CHP) mengesahkan varian baru itu dibawa masuk seorang lelaki yang terbang dari Afrika Selatan pada 11 November. Beliau disahkan positif Covid-19 dua hari kemudian, lapor The Washington Post.

Pesakit itu, 36 tahun, kemudian didakwa menularkan virus itu kepada lelaki lain yang tinggal di bilik berdekatan di hotel sama, lapor RTHK.

The Washington Post melaporkan lelaki kedua, 62 tahun, telah tiba dari Canada.

CHP mengatakan penyiasatan terbaru ke atas dua kes itu menunjukkan ia mempunyai urutan genetik sangat serupa, sambil menambah bahawa virus yang dibawa mereka tergolong dalam varian B.1.1.529.

"Maklumat saintifik mengenai kesihatan awam berkaitan varian ini masih kurang pada masa ini. Ia diklasifikasikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai 'varian dalam pemantauan'," RTHK melaporkan, menukil CHP.

Pesakit pertama didapati telah memakai pelitup boleh guna semula dengan injap udara, dan siasatan lanjut ahli mikrobiologi Universiti Hong Kong, Profesor Yuen Kwok Yung, mendapati pelitup itu telah menyumbang kepada penyebaran virus melalui melalui udara kepada lelaki kedua, lapor RTHK.

Pemerintah Hong Kong, sejak itu, melarang penggunaan pelitup sedemikian semasa kuarantin hotel kerana ia tidak menapis udara dengan berkesan.

Menyusuli pengesanan dua kes itu, 12 orang yang tinggal di tiga bilik berhampiran dua lelaki tersebut dari 11 hingga 14 November telah dibawa ke Pusat Kuarantin Penny's Bay untuk menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari, lapor akhbar The Standard.

Tiada jangkitan berkaitan dikesan setakat ini.

Profesor David Hui, dari Universiti China Hong Kong, berkata beliau bimbang varian baru itu boleh mengurangkan keberkesanan vaksin Covid-19 yang ada.

Pakar perunding pemerintah Hong Kong mencadangkan bandar itu menimbangkan untuk melarang pelawat dari bahagian selatan Afrika, termasuk Afrika Selatan dan Botswana, lapor media HK01.

Varian baru itu memacu kenaikan kes jangkitan Covid-19 baru di Afrika Selatan, kata saintis.

Setakat ini, 22 kes positif telah dikenal pasti di Afrika Selatan, menurut Institut Nasional Penyakit Berjangkit Afrika Selatan, lapor New York Times.

Pihak berkuasa Britain mengatakan varian baru itu mempunyai protein pepaku (spike protein) yang berbeza dengan yang terdapat dalam koronavirus asal.

"Ini adalah varian paling penting yang kami temui setakat ini dan penyelidikan segera sedang dijalankan untuk mengetahui lebih lanjut tentang kebolehjangkitan, keseriusan dan kerentanan terhadap vaksin," kata Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Kesihatan British, Dr Jenny Harries. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg