Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hong Kong selepas 25 tahun di bawah 'satu negara, dua sistem'

Jul 12, 2022 | 05:30 AM



HONG KONG telah dikuasai Britain pada 1841 semasa Perang Candu Pertama. Pulau itu secara rasmi menjadi jajahan negara itu dua tahun kemudian berikutan Perjanjian Nanking.



Selepas lebih 150 tahun pemerintahan Britain, Hong Kong diserahkan semula kepada China pada 1 Julai 1997, di bawah dasar 'satu negara, dua sistem' yang termaktub dalam Deklarasi Bersama China-Britain 1984 yang menyenaraikan syarat-syarat penyerahan.



Pada 1 Julai lalu, Hong Kong meraikan ulang tahun ke-25 penyerahan tersebut, yang merupakan tempoh separuh jalan 'satu negara, dua sistem' - model tadbir urus yang dipersetujui Britain dan China dengan bandar itu akan mengekalkan beberapa autonomi dan kebebasan.



Model tadbir urus itu sepatutnya ditetapkan bagi tempoh 50 tahun.



Namun, dalam jam pertama sahaja, 'garis pertempuran' yang menentukan politik Hong Kong bagi dua dekad mendatang telah pun digariskan.



Berang dengan percubaan terakhir gabenor Britain, Encik Chris Patten, dalam meningkatkan proses demokrasi di pulau itu, China mengumumkan bahawa penggubal undang-undang yang secara terbuka menyokong langkah itu akan diketepikan.



Jadi, sebaik sahaja penyerahan itu berkuat kuasa pada 1 Julai 1997, penggubal undang-undang prodemokrasi seperti Encik Lee Wing-tat berdiri bersama sebilangan rakannya di balkoni badan perundangan bandar itu untuk mengadakan bantahan.



Encik Lee dan ramai rakan seperjuangan prodemokrasinya kehilangan kerusi badan perundangan mereka.



"Ini adalah masa apabila semua orang China harus berasa bangga," kata Encik Martin Lee, pengasas Parti Demokratik Hong Kong, dalam ucapannya pada masa itu.



"Kami berharap Hong Kong dan China boleh maju bersama."



Encik Lee Wing-tat mempunyai perasaan bercampur baur.



"Kami tidak lagi optimistik dan saya tidak lagi percaya kami akan mempunyai demokrasi sepenuhnya," katanya.



Kini, 25 tahun kemudian, tidak ada sama sekali anggota badan perundangan pembangkang di Hong Kong.



Ramai telah ditangkap di bawah undang-undang keselamatan negara yang dikenalkan Beijing pada 2020, atau hilang kelayakan daripada bertanding jawatan di bawah peraturan pilihan raya "pencinta negara sahaja" yang baru.



Yang lain telah melarikan diri, termasuk Encik Lee Wing-tat, yang kini menetap di Britain.



KETIDAKPERCAYAAN MENINGKAT



Seperti kebanyakan orang, Encik Lee mempunyai harapan pada 1984, apabila Deklarasi Bersama China-Britain menetapkan haluan untuk menamatkan lebih 150 tahun pemerintahan kolonial British.



Dasar 'satu negara, dua sistem' menjanjikan tahap autonomi tinggi, kuasa kehakiman bebas, dan pemimpin bandar itu akan dilantik oleh Beijing berdasarkan pilihan raya tempatan atau perundingan.



"Deng (Xiaoping, pemimpin China ketika itu) banyak berkata tentang perkara seperti 'orang Hong Kong mentadbir Hong Kong', yang agak menarik," kata Encik Lee.



Tetapi tindakan keras China berkaitan bantahan Tiananmen pada 1989, yang menyaksikan Beijing menghantar kereta kebal untuk menghancurkan gerakan demokrasi, menghapuskan kepercayaannya terhadap Parti Komunis China (CCP).



Pada tahun-tahun selepas penyerahan itu, ketidakpercayaan antara Beijing dengan penduduk Hong Kong seperti Encik Lee semakin memuncak.



Kem prodemokrasi melihat Beijing sebagai autoritarian kejam yang mula menafikan hak penduduk Hong Kong yang dijanjikan.



CCP pula semakin melihat tuntutan kumpulan prodemokrasi sebagai satu cabaran pada kedaulatan China.



Terdapat bantahan besar-besaran yang berjaya pada 2003 dan 2012 yang membuat pentadbir Hong Kong terpaksa mengalah.



Namun kempen untuk membolehkan Hong Kong memilih pemimpin sendiri, termasuk Pergerakan Payung 2014 tidak berjaya.



Ketegangan akhirnya meletus dalam bantahan besar pada 2019, dengan China bertindak balas dengan tindakan keras yang telah mengubah bandar yang dahulunya lantang bersuara itu.



TIDAK BERLEBIHAN



Pengkritik seperti Encik Patten, gabenor British terakhir, menuduh CCP mengkhianati janjinya kepada Hong Kong.



"China telah merobek deklarasi bersama dan, dengan penuh dendam dan menyeluruh, cuba menghapuskan kebebasan Hong Kong kerana ia menganggapnya sebagai ancaman, bukan kepada keselamatan China tetapi kepada keupayaan CCP mengekalkan kuasa, " kata Encik Patten kepada AFP baru-baru ini.



Tetapi bekas pemimpin Hong Kong, Encik Leung Chun-ying, berkata tindakan keras sejak tiga tahun lalu adalah "tidak berlebihan".



"Anda tidak boleh berkata, 'Kami mahu mempunyai tahap autonomi tinggi dan anda harus ketepi' - itu akan menjadi kemerdekaan de facto Hong Kong," katanya.



Encik Leung, yang pentadbirannya berdepan dengan Pergerakan Payung, menyalahkan pergolakan sosial dan politik selama bertahun-tahun kepada orang ramai yang diperdaya tokoh politik dan salah faham terhadap mini-Perlembagaan Hong Kong.



Beliau juga mendakwa ada "kuasa luar" bermusuhan terlibat, tetapi enggan menyatakan secara spesifik.



Encik Leung menyifatkan dasar 'satu negara, dua sistem' sebagai satu kejayaan dan berkata aturan itu mungkin berterusan selepas tempoh 50 tahunnya.



SATU NEGARA



Namun, ramai penduduk Hong Kong masih tidak yakin.



Keyakinan orang ramai terhadap 'satu negara, dua sistem' mencecah paras terendah pada pertengahan 2020, menurut tinjauan pendapat yang dijalankan Institut Penyelidikan Pendapat Awam Hong Kong sejak 1994.



Beberapa penduduk seperti Encik Herman Yiu, ahli politik muda yang dilahirkan pada tahun penyerahan (1997), telah kehilangan harapan untuk membuat perubahan dalam sistem politik wilayah itu.



"Saya dilahirkan pada 1997... rasanya seperti nasib saya dikaitkan dengan nasib Hong Kong," kata Encik Yiu kepada AFP.



"Saya mahu mengambil bahagian untuk menjadikan Hong Kong lebih baik. Saya fikir sekarang penekanan 'satu negara, dua sistem' adalah kepada 'satu negara'," kata Encik Yiu.



"Saya berasa tidak berdaya, buat Hong Kong dan diri saya sendiri." - AFP, agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >