Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS hos mesyuarat maya menteri perdagangan, ekonomi Indo-Pasifik

Jul 26, 2022 | 5:30 AM
ENCIK JOE BIDEN: Melancarkan IPEF dalam lawatannya ke Tokyo Mei lalu.
ENCIK JOE BIDEN: Melancarkan IPEF dalam lawatannya ke Tokyo Mei lalu. -

WASHINGTON: Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah mesyuarat maya hari ini bagi pegawai wakil 14 negara yang menyertai Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), sedang Washington berusaha meluaskan pelibatannya dengan Asia.

Topik perbincangan mesyuarat hari ini termasuk perdagangan, rantaian bekalan, tenaga bersih, infrastruktur, cukai dan perang rasuah.

Mesyuarat menteri itu akan dihoskan Wakil Perdagangan Amerika, Cik Katherine Tai, dan Setiausaha Perdagangan, Cik Gina Raimondo, menurut satu kenyataan pejabat mereka kelmarin.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, melancarkan IPEF dalam lawatannya ke Tokyo pada Mei lalu bersama rakan perdagangannya, iaitu Australia, Brunei, India, Fiji, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand, Malaysia dan Vietnam.

Beliau mahu menggunakannya sebagai cara meningkatkan taraf alam sekitar, buruh dan perkara lain di seluruh Asia.

IPEF digunakan sebagai wadah memulakan paradigma baru abad ke-21 bagi memastikan pertumbuhan lebih cepat dan adil bagi ekonomi di rantau ini, selain menggalak keterangkuman serta kemakmuran bersama.

Ia menyediakan rangka kerja strategik dan platform dialog dua hala dan pelbagai hala untuk urusan perdagangan dan pelaburan bersama Amerika dan rakan rangka kerja.

IPEF menyusul lima tahun selepas Amerika secara sepihak menarik diri daripada Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) yang ditandatangani 12 negara Asia-Pasifik, Amerika Utara dan Amerika Selatan.

Dengan pengunduran Amerika, negara TPP terus melancarkan perjanjian perdagangan pelbagai hala terbesar di dunia, Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP), yang turut menyaksikan permintaan China untuk turut serta.

Sejak itu, Amerika dilihat "tidak hadir" di rantau itu dan keadaan diburukkan lagi oleh perang perdagangannya dengan China.

IPEF dikatakan seakan-akan langkah mengurangkan keterlibatan China di rantau ini.

Rangka kerja itu diketuai Amerika dan berperanan mengukuhkan hubungan negara anggota.

Negara anggota juga boleh melibatkan diri dalam hal ekonomi dan perdagangan penting yang membimbangkan di rantau ini, seperti membina rantaian bekalan yang berdaya tahan daripada wabak.

IPEF bukan perjanjian perdagangan bebas.

Tiada akses pasaran atau pengurangan tarif digariskan, walaupun pakar mengatakan ia boleh membuka jalan kepada perjanjian perdagangan. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg