Hospital awam M'sia perlukan peruntukan tambahan untuk tingkat kapasiti
Hospital awam M'sia perlukan peruntukan tambahan untuk tingkat kapasiti
Permohonan dibuat Kementerian Kesihatan ekoran kes Covid-19 yang tinggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memohon peruntukan tambahan RM100 juta ($32.1 juta) bagi tujuan penyumberluaran untuk meningkatkan kapasiti hospital awam merawat kes Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata permohonan itu dibuat berikutan peningkatan kes positif pandemik ketika ini.
"Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta lagi kepada KKM bagi tujuan penyumberluaran perkhidmatan kesihatan ke hospital swasta dengan memberi keutamaan kepada kes di Lembah Klang.
"Berikutan peningkatan kes pada masa kini, KKM memohon peruntukan tambahan RM100 juta lagi bagi penyumberluaran untuk meningkatkan kapasiti," katanya pada sesi penerangan Mesyuarat Khas Parlimen semalam.
Dr Adham berkata kerajaan, pada tahun lalu, memperuntukkan RM56 juta ($18 juta) kepada KKM untuk penyumberluaran pesakit kepada hospital swasta bagi mengurangkan masa menunggu pesakit yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal seperti rawatan jantung dan barah.
Jelasnya, penyumberluaran yang dilakukan secara tidak langsung membantu meningkatkan kapasiti hospital KKM bagi merawat pesakit Covid-19.
"Seperti yang dinyatakan, keupayaan negara menangani pandemik ini dibantu melalui kerjasama strategik rentas kerajaan dengan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan bagi memastikan setiap intervensi dan usaha yang diambil dalam menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif," katanya.
Selain itu, KKM juga telah mewujudkan Program Perkhidmatan Kesihatan Mental (MHPSS) bagi membantu petugas barisan hadapan dan masyarakat yang terkesan dari segi emosi serta psikologi akibat penularan Covid-19.
Datuk Dr Adham berkata kementeriannya juga melaksanakan latihan Bantuan Awal Psikologi kepada pemberi khidmat kesihatan serta sukarelawan agensi lain, bagi memperkasa pengendalian emosi ketika pandemik.
"Bagi memastikan tahap kesihatan mental petugas kesihatan dan barisan hadapan yang dimobilisasikan ke lapangan berada dalam keadaan terbaik, taklimat 'Pre-Deployment' meliputi aspek kesihatan mental serta psikologi diberikan sebagai pendedahan awal berkaitan isu kesihatan mental dan penjagaan kesihatan mental kendiri.
"Selepas tamat tugasan, petugas akan diberi taklimat 'Post-Deployment' berserta 'Mental Health Alert Card', manakala saringan kesihatan mental akan dilakukan jika perlu," katanya.
Dr Adham berkata sesi libat urus seperti kaunseling individu, berkumpulan serta webinar turut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak dan masyarakat yang mana sebanyak 68 sesi berjaya dilaksanakan.
KKM juga mendapat kerjasama daripada lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi perkhidmatan sokongan psikososial kepada orang ramai yang mengalami tekanan.
Sementara itu, bimbang dengan keadaan unit rawatan rapi (ICU) di hospital yang kekurangan katil, ahli parlimen pembangkang menggesa supaya kerajaan meningkatkan jumlah katil di hospital awam terutamanya di empat negeri yang mencatatkan kes jangkitan tertinggi.
Ahli Parlimen (AP) Bayan Baru, Encik Sim Tze Tzin, dan AP Gopeng, Encik Lee Boon Chye, mempersoal langkah yang telah dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila peningkatan kes harian Covid-19 di negara mencecah 17,000 beberapa hari lalu sehingga membebankan kapasiti ICU di hospital awam.
"Ia penting (penambahan katil ICU) sebab kalau kategori 3, 4 dan 5 mesti dirawat di ICU kerana mereka (pesakit) kekurangan oksigen, kekurangan ventilator (alat bantuan pernafasan).
"Jadi (kemudahan) ICU tu penting. ICU tu penyelamat nyawa. Tanpa ICU yang mencukupi, ada kemungkinan nyawa terkorban kerana kemudahan ICU, ventilator tak cukup.
"... Boleh dikatakan kapasiti ICU 'telah masuk ICU'. Banyak negeri telah mencecah lebih 100 peratus, sesetengah mencecah 200 peratus. Ini amat mengejutkan," kata Encik Lee. - BHM, Malaysiakini.

