Topic followed successfully
Go to BHkuHu Jintao 'dibawa keluar' kongres kerana 'tidak sihat'
Hu Jintao 'dibawa keluar' kongres kerana 'tidak sihat'
Hu Jintao 'dibawa keluar' kongres kerana 'tidak sihat'
BEIJING: Agensi berita negara China Xinhua telah memberikan penjelasan mengenai pemergian mengejut mantan pemimpin China, Encik Hu Jintao daripada majlis penutupan kongres Parti Komunis China kelmarin.
Xinhua menulis dalam tweet lewat malam kelmarin bahawa Encik Hu "tidak sihat semasa sesi" penutupan itu.
"Demi kesihatannya, kakitangannya menemaninya ke bilik bersebelahan tempat mesyuarat untuk berehat. Sekarang, beliau jauh lebih baik," kata Xinhua sambil menambah bahawa Encik Hu telah berkeras untuk menghadiri majlis itu walaupun keadaan kesihatannya kurang baik.
Encik Hu diiringi turun dari pentas di Dewan Besar Rakyat di Beijing semasa majlis penutupan, tidak lama selepas wartawan tempatan dan asing dibawa masuk ke auditorium.
Mantan pemimpin tertinggi China berusia 79 tahun itu kelihatan keberatan untuk pergi dan telah berbalas kata dengan Encik Xi dan pegawai tertinggi lain yang duduk di sebelahnya, sebelum beliau dibawa keluar oleh dua lelaki.
Klip detik janggal itu, yang disiarkan ke Twitter oleh The Straits Times, menjadi tular dengan lebih sembilan juta tontonan setakat ini.
Ia mencetuskan perdebatan hangat di kalangan pemerhati China di seluruh dunia sama ada ini adalah satu usaha untuk mengeluarkan Encik Hu, yang terdiri daripada puak politik yang berbeza daripada Encik Xi.
Menjelang petang kelmarin, hampir semua siaran Weibo yang mengandungi nama Encik Hu tidak lagi kelihatan.
Perbahasan itu menggariskan bagaimana golongan politik elit China menjadi kurang jelas di bawah Encik Xi, yang telah mengekang kebocoran.
Encik Hu telah menghadiri kongres parti sebagai sebahagian daripada jawatankuasa tetap presidium, badan yang menyelia kongres dua kali sedekad itu.
Jawatankuasa 46 ahli itu terdiri daripada pemimpin semasa, serta pemimpin parti dan pegawai kanan bersara.
Turut menjadi sebahagian daripada jawatankuasa itu ialah mantan pemimpin Encik Jiang Zemin, 96 tahun; mantan perdana menteri Encik Zhu Rongji, 93 tahun dan Encik Wen Jiabao, 80 tahun.
Tetapi kedua-dua Encik Jiang dan Encik Zhu, yang dipercayai kurang sihat, tidak menghadiri kongres itu. - ST.

