NEW YORK: Gergasi peralatan telekomunikasi China, Huawei, didapati bersalah oleh juri mahkamah di New York pada 24 November atas 10 daripada 12 pertuduhan jenayah, termasuk menipu bank mengenai urusan perniagaannya di Iran dan berpakat mencuri rahsia perdagangan syarikat Amerika Syarikat.

Keputusan itu menandakan perkembangan penting dalam kes jenayah yang bermula pada 2018, sekali gus mencerminkan ketegangan berpanjangan antara Washington dengan Beijing dalam persaingan menguasai teknologi global.

Juri di mahkamah persekutuan Brooklyn mendapati Huawei bersalah atas beberapa pertuduhan, termasuk penipuan bank, penipuan menerusi komunikasi elektronik, pelanggaran sekatan Amerika dan pakatan mencuri rahsia perdagangan.

Bagaimanapun, Huawei dibebaskan daripada dua pertuduhan, iaitu berpakat menghalang proses keadilan dan menjalankan kegiatan jenayah terancang.

Perbicaraan yang berlangsung hampir tiga bulan itu menyaksikan pihak pendakwaan memanggil lebih 60 saksi, manakala pihak pembelaan memanggil 15 saksi.

Hukuman terhadap Huawei dijadual dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Daerah Amerika Ann Donnelly, pada 14 September 2027.

Namun, jumlah denda atau bentuk hukuman yang bakal dikenakan masih belum diketahui.

Huawei pada 25 November menolak keputusan mahkamah tersebut, menyifatkan pertuduhan terhadapnya sebagai tidak berasas dari sudut undang-undang dan fakta.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

“Kami akan meneliti keputusan berkenaan secara menyeluruh dan mengambil segala tindakan undang-undang yang diperlukan bagi mempertahankan hak dan kepentingan kami,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Peguam Huawei, Encik Brian Heberlig, berkata syarikat itu kecewa dengan keputusan juri, namun menyambut baik pembebasannya daripada pertuduhan menjalankan kegiatan jenayah terancang.

Menurut beliau, keputusan tersebut membuktikan kesungguhan Huawei dalam mematuhi peraturan.

“Kami sememangnya menjangka akan mengemukakan rayuan,” katanya kepada wartawan.

Kes terhadap Huawei mula mendapat perhatian antarabangsa pada Disember 2018 apabila Ketua Pegawai Kewangannya, Cik Meng Wanzhou, yang juga anak perempuan pengasas syarikat itu, ditahan di Canada berdasarkan waran tangkap Amerika.

Penahanan tersebut mencetuskan krisis diplomatik melibatkan Amerika, China dan Canada.

Cik Meng ketika itu berdepan pertuduhan mengelirukan seorang pegawai bank HSBC mengenai kegiatan perniagaan Huawei di Iran, bagi membolehkan syarikat tersebut menjalankan urus niaga dalam dolar Amerika yang melanggar sekatan Washington terhadap Teheran.

Beliau hampir tiga tahun menentang usaha mengekstradisinya ke Amerika sebelum mencapai perjanjian penangguhan pendakwaan dan dibenarkan pulang ke China.

Pertuduhan terhadapnya kemudian digugurkan.

Cik Meng tidak memberi keterangan dalam perbicaraan terbaru itu, namun seorang pegawai HSBC yang pernah bertemu dengannya pada 2013 dipanggil sebagai saksi.

Pertuduhan asal pada 2018 mendakwa Huawei mengelirukan HSBC, Standard Chartered dan BNP Paribas mengenai urusan perniagaannya di Iran.

Pada 2020, pihak pendakwaan menambah beberapa pertuduhan, termasuk dakwaan bahawa Huawei berpakat mencuri rahsia perdagangan syarikat teknologi Amerika selama dua dekad.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan berusaha membuktikan bahawa Huawei mencuri kod sumber bagi peralatan penghala Internet keluaran Cisco Systems serta teknologi antena milik syarikat telekomunikasi Quintel.

Huawei juga didakwa mengupah seorang profesor bagi mendapatkan akses kepada papan litar yang dibangunkan syarikat semikonduktor CNEX.

Juri turut ditayangkan rakaman video yang menurut pihak pendakwaan menunjukkan seorang pekerja Huawei memasukkan komponen robot pengujian milik T-Mobile ke dalam beg galasnya.

Mahkamah turut mendengar keterangan mengenai seorang jurutera Huawei yang menyelinap masuk ke ruang pameran Fujitsu dalam satu pameran perdagangan untuk mengambil gambar sebuah peranti.

Pihak pendakwaan mendakwa maklumat teknologi yang diperoleh membolehkan Huawei menghasilkan produk serupa dengan keluaran pesaingnya sebelum menjualnya pada harga lebih rendah.

Huawei juga didakwa cuba mengambil pekerja syarikat telekomunikasi Amerika bagi mendapatkan maklumat teknologi mereka.

Bagaimanapun, pihak pembelaan berhujah bahawa pihak pendakwaan hanya memilih beberapa kejadian berasingan untuk menyokong dakwaan wujudnya pakatan jenayah selama 20 tahun.

Encik Heberlig menegaskan bahawa kejayaan Huawei dicapai menerusi kerja keras, inovasi serta pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Huawei sekian lama menjadi sasaran pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang mendakwa syarikat itu berpotensi menjalankan kegiatan pengintipan bagi pihak pemerintah China.

Pada 2019, Washington menyenaraihitamkan Huawei dalam perdagangan, sekali gus menyekat aksesnya kepada teknologi Amerika atas kebimbangan mengenai keselamatan negara.

Amerika turut menggesa negara lain supaya tidak menggunakan peralatan Huawei dalam pembangunan rangkaian telekomunikasi generasi kelima (5G).

Namun, menurut pakar, tindakan undang-undang dan sekatan Amerika tidak menjejaskan perniagaan Huawei secara menyeluruh.

Syarikat yang mempunyai lebih 200,000 pekerja dan beroperasi di sekitar 170 negara itu telah mempelbagaikan perniagaannya, selain muncul sebagai pemain utama dalam usaha China memajukan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Kedutaan China di Washington belum memberikan respons terhadap keputusan mahkamah tersebut.

Penolong Peguam Negara Amerika, Encik Tysen A. Duva, berkata keputusan itu membawa mesej jelas kepada syarikat asing.

“Amerika akan mempertahankan perniagaannya, melindungi pekerjanya dan menjaga keselamatan negaranya daripada syarikat asing yang berbohong, menipu dan mencuri demi meraih kelebihan,” katanya. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti