Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hujan lebat, angin kencang taufan Bualoi tenggelamkan Hanoi, puluhan hilang

Sep 30, 2025 | 3:31 PM
Orang ramai meredah banjir sambil menolak motosikal mereka di sebuah jalan yang ditenggelami air di Hanoi, Vietnam, pada 30 September 2025. Taufan Bualoi telah meragut sekurang-kurangnya 19 nyawa, mencederakan puluhan orang dan menyebabkan beberapa lagi hilang sejak ia melanda kawasan utara-tengah Vietnam, menurut media negara.
Orang ramai meredah banjir sambil menolak motosikal mereka di sebuah jalan yang ditenggelami air di Hanoi, Vietnam, pada 30 September 2025. Taufan Bualoi telah meragut sekurang-kurangnya 19 nyawa, mencederakan puluhan orang dan menyebabkan beberapa lagi hilang sejak ia melanda kawasan utara-tengah Vietnam, menurut media negara. - Foto EPA

HANOI: Angka korban akibat Taufan Bualoi di Vietnam meningkat kepada 19 orang dengan 21 lagi masih hilang, menurut pemerintah pada Selasa, 30 September. Ribut taufan paling dahsyat tahun 2025 ini itu turut menyebabkan banjir teruk di Hanoi dan beberapa wilayah utara selepas hujan lebat berterusan.

Taufan Bualoi melanda pantai utara-tengah Vietnam pada 29 September, membawa ombak besar, angin kencang dan hujan lebat. Minggu lalu, taufan yang sama telah meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa di Filipina sebelum bergerak ke Laut China Selatan dan menghentam Vietnam.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Vietnam memaklumkan bahawa 88 orang cedera, manakala lebih 100,000 rumah rosak, kebanyakannya di wilayah Nghe An dan Ha Tinh. Lebih 10,000 hektar sawah padi dan tanaman turut ditenggelami air, menjejaskan pendapatan ribuan petani.

“Hujan dalam tempoh 24 jam terakhir melebihi 300 milimeter di beberapa kawasan. Kami memberi amaran risiko tanah runtuh dan banjir kilat,” kata Agensi Cuaca Kebangsaan Vietnam dalam satu kenyataan rasmi.

Di ibu negara Hanoi, hujan berterusan disertai guruh dan kilat menyebabkan jalan utama tenggelam dan lalu lintas lumpuh. Banyak kawasan kediaman turut dinaiki air sehingga mengganggu aktiviti harian penduduk.

“Tak pernah hujan begini lebat. Air mengalir masuk ke ruang tamu rumah saya… saya tidak pernah lihat keadaan seperti ini sebelum ini,” kata penduduk tempatan, Encik Hoang Quoc Uy, 49 tahun.

Rakaman televisyen negara menunjukkan beberapa kampung di wilayah utara-tengah masih terputus hubungan, tanpa akses jalan dan bekalan elektrik. Air banjir naik hampir mencecah bumbung rumah di kawasan tertentu di Nghe An.

“Ini rumah saya. Bumbung diterbangkan angin taufan dan sekarang air banjir sudah separuh meter masuk ke dalam,” kata Cik Ngo Thi Loan, 56 tahun, penduduk Nghe An yang ditemui wartawan Reuters. “Semua barang saya rosak, semuanya musnah,” ujarnya dengan nada sedih.

Pemerintah Vietnam telah mengerahkan pasukan penyelamat dan tentera ke kawasan paling terjejas untuk membantu pemindahan penduduk serta menyalurkan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Namun, keadaan jalan yang terputus dan arus deras menyukarkan operasi.
Pihak berkuasa juga mengingatkan penduduk agar berwaspada terhadap hujan susulan dan aliran lumpur yang boleh membawa kepada tanah runtuh di kawasan pergunungan.

Dengan pantai yang panjang menghadap Laut China Selatan, Vietnam kerap berdepan taufan besar saban tahun. Walaupun pemerintah telah meningkatkan sistem amaran awal dan pemindahan penduduk, kesan Taufan Bualoi menunjukkan kerentanan tinggi infrastruktur di kawasan luar bandar.

Pakar cuaca memberi amaran bahawa perubahan iklim berpotensi meningkatkan intensiti ribut pada masa hadapan. “Hujan ekstrem yang kita lihat hari ini adalah isyarat bahawa bencana boleh jadi lebih kerap dan dahsyat,” kata seorang pegawai meteorologi tempatan.

Bagi ribuan keluarga yang terjejas, keutamaan kini adalah mencari tempat selamat dan membina semula kehidupan. “Kami berharap bantuan cepat sampai kerana rumah kami musnah sepenuhnya,” kata Cik Ngo Thi Loan penuh harap. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg