MANILA: Air banjir akibat hujan lebat yang berterusan telah melumpuhkan aktiviti harian di ibu negara Filipina pada 22 Julai, dengan puluhan ribu penduduk dipindahkan dari kediaman mereka dan sekurang-kurangnya dua orang dilaporkan hilang.
Sekolah dan pejabat pemerintah di metropolitan Manila dan wilayah sekitarnya ditutup selepas hujan malam yang menyebabkan Sungai Marikina melimpah.
Lebih 23,000 orang yang tinggal di sepanjang sungai itu telah dipindahkan sepanjang malam, berlindung di sekolah, dewan kampung dan balai tertutup. Seramai 25,000 lagi telah dipindahkan dari bandar Quezon dan Caloocan di kawasan metropolitan tersebut.
“Kebiasaannya, mereka ini berasal dari kawasan rendah seperti berhampiran anak sungai yang mengalir ke sungai utama,” kata Encik Wilmer Tan, dari pejabat penyelamat Marikina, yang memaklumkan bahawa sungai itu mencapai ketinggian 18 meter.
Seorang wanita warga emas dan pemandunya dihanyutkan arus deras di sebuah anak sungai yang melimpah ketika mereka cuba menyeberangi jambatan di Caloocan, kata Encik John Paul Nietes, penolong penyelia pusat operasi kecemasan.
“Kereta mereka telah ditemui malam tadi. Operasi menyelamat masih diteruskan, namun setakat ini, kedua-duanya belum dijumpai,” katanya. “Cermin tingkap kereta telah pecah, jadi ada harapan mereka sempat menyelamatkan diri.”
Air banjir mula surut pada awal pagi 22 Julai, walaupun ribuan orang masih belum dapat pulang ke rumah masing-masing.
Hujan monsun yang berterusan telah mer
agut sekurang-kurangnya tiga nyawa dan menyebabkan tujuh lagi hilang di kawasan tengah dan selatan Filipina sejak Taufan Tropika Wipha melintasi negara itu pada 18 Julai, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan.
Sekurang-kurangnya 20 ribut atau taufan melanda atau menghampiri Filipina setiap tahun, dengan kawasan termiskin di negara itu lazimnya paling terjejas.
Ribut yang membawa maut dan kemusnahan semakin kuat apabila dunia semakin panas akibat perubahan iklim. “Ini sangat sukar kerana jika hujan berterusan, sungai akan terus melimpah,” kata penyapu jalan Manila, Avelina Lumangtad, 61 tahun, ketika berdiri di sebelah laluan yang dibanjiri. “Banjir ini sangat berbahaya.” - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg