Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu bapa remaja serang gereja di Medan mohon maaf pada penganut Kristian

Sep 2, 2016 | 12:12 PM
Encik Makmur Hasugian (dua dari kiri) dan isterinya, Cik Arista Purba, memohon maaf kepada penganut Kristian semasa sidang media di Persatuan Peguam Indonesia (Peradi) di Medan pada 1 September.
Encik Makmur Hasugian (dua dari kiri) dan isterinya, Cik Arista Purba, memohon maaf kepada penganut Kristian semasa sidang media di Persatuan Peguam Indonesia (Peradi) di Medan pada 1 September. - GAMBAR THE JAKARTA POST

MEDAN: Ibu bapa remaja 17 tahun yang dituduh menyerang sebuah gereja di Medan telah memohon maaf kepada penganut Kristian, khususnya Katolik, bagi perbuatan anak mereka.

Mereka memohon maaf dalam satu sidang media pada Khamis (1 Sep) di pejabat Persatuan Peguam Indonesia (Peradi) di Medan.

Remaja tersebut dituduh cuba mengebom Gereja Katolik St. Yosep di Medan dan membunuh paderi Albertus Pandiangan.

Bapanya, Encik Makmur Hasugian, 65 tahun, berkata keluarga beliau terkejut apabila mengetahui mengenai serangan itu.

"Keluarga kami memohon maaf. Kami tiada niat sama sekali untuk menyakiti penganut Kristian, terutamanya Katolik. Kami mempunyai penganut Kristian dalam kalangan keluarga kami," kata Encik Makmur sambil menangis.

Beliau berkata anaknya bukan seorang penjenayah tetapi mangsa ajaran radikal, sambil menambah ada orang mempengaruhinya hingga menjadi radikal.

"Anak saya mangsa radikalisme. Dia bukan penjenayah. Ada orang memujuknya untuk melakukan itu," kata Encik Makmur, yang juga mantan peguam.

Ibu remaja itu, Cik Arista Purba, 54 tahun, berkata beliau cuai dalam mengawasi anaknya. "Ini adalah kesilapan saya. Saya tidak memantau dia."

Cik Arista berkata beliau telah melawat anaknya di pejabat polis Medan dan dia memohon maaf kepada semua orang yang terjejas oleh tindakannya.

"Dia memohon maaf kerana melakukan keganasan terhadap ramai orang dan mendatangkan masalah kepada keluarganya," ujar beliau.

Remaja itu baru lulus sekolah menengah atas di Medan dan akan berusia 18 tahun pada Oktober. - The Jakarta Post/Asia News Network

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg