Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ibu dan anak warga AS, tebusan pertama dibebaskan Hamas

Oct 21, 2023 | 2:35 PM
PERTAMA DIBEBASKAN: Warga Amerika, (dua dari kanan) Cik Judith Tai Raanan dan anaknya, (dua dari kiri), Natalie Shoshana Raanan, berjalan sambil dipimpin oleh Brigadier Jeneral Israel, Gal Hirsch, ketua perunding tebusan IDF, selepas dibebaskan oleh kumpulan Hamas hasil usaha pengantaraan pihak Qatar.
PERTAMA DIBEBASKAN: Warga Amerika, (dua dari kanan) Cik Judith Tai Raanan dan anaknya, (dua dari kiri), Natalie Shoshana Raanan, berjalan sambil dipimpin oleh Brigadier Jeneral Israel, Gal Hirsch, ketua perunding tebusan IDF, selepas dibebaskan oleh kumpulan Hamas hasil usaha pengantaraan pihak Qatar. - Foto REUTERS

GAZA/EVANSTON: Dua tawanan warga Amerika Syarikat yang baru dibebaskan telah disatukan semula dengan keluarga mereka di Israel pada Jumaat, hampir dua minggu selepas kumpulan Hamas menculik mereka dan puluhan lain di Gaza.

Cik Judith Tai Raanan, 59 tahun dan anak perempuannya Natalie Shoshana Raanan, 17 tahun, telah diserahkan kepada tentera Israel di sempadan Semenanjung Gaza pada Jumaat, menjadi tawanan pertama yang dibebaskan Hamas, telah disahkan oleh kedua-dua pihak.

Pembebasan itu diumumkan Encik Abu Ubaida, jurucakap sayap bersenjata Hamas, Briged Izz el-Deen al-Qassam, dan disahkan tidak lama kemudian dalam satu kenyataan daripada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Pemimpin Israel itu berkata ibu dan anak perempuan itu, dari pinggir bandar Chicago di Evanston, Illinois, “dalam perjalanan ke titik pertemuan di pangkalan tentera di tengah negara, di mana ahli keluarga mereka sedang menunggu.”

Dihubungi melalui telefon di Bannockburn, Illinois, di luar Chicago, Encik Uri Raanan, bapa remaja itu, berkata beliau bercakap dengan anak perempuannya melalui telefon dan “beliau kedengaran amat baik, sangat gembira dan kelihatan sihat”.

Menurut Encik Netanyahu dan saudara-mara, dua beranak itu diculik dari Kibbutz Nahal Oz semasa serangan mengejut ke atas selatan Israel, yang dilakukan dari Gaza oleh kumpulan Hamas pada 7 Oktober.

Media Israel telah menunjukkan gambar ibu dan anak perempuan itu diiringi oleh sekumpulan anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berseragam, dari sempadan beberapa saat selepas dibebaskan.

Kedua-duanya kelihatan sihat ketika mereka berjalan dengan dipimpin Brigadier Jeneral Israel, Gal Hirsch, ketua perunding tebusan IDF.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden mengucapkan terima kasih kepada Qatar dan Israel kerana usaha mereka dalam menjamin kebebasan dua beranak itu. Encik Biden menulis di wadah media sosial X bahawa beliau telah bercakap dengan kedua-duanya melalui telefon, dan menyiarkan foto mereka semasa menerima panggilan darinya.

Hamas secara berasingan mengeluarkan video kedua-dua wanita itu diserahkan kepada pekerja dengan Jawatankuasa Antarabangsa bagi Palang Merah (ICRC).

Dua beranak itu adalah antara kira-kira 200 tebusan yang dikatakan telah diculik Hamas semasa serangan terhadap komuniti dan pangkalan tentera di selatan Israel.

Hamas berkata dua wanita itu, yang dilaporkan oleh penyiar awam Kan dari Israel adalah warga Israel-Amerika, dibebaskan “atas sebab kemanusiaan” sebagai respons kepada usaha pengantaraan oleh Qatar.

Hamas sebelum ini menyifatkan tawanan yang mempunyai kewarganegaraan “asing” sebagai “tetamu” yang akan dibebaskan apabila keadaan mengizinkan, tanpa menyatakan jika itu termasuk warga Israel yang mempunyai dua kerakyatan.

Sumber yang diberi taklimat mengenai rundingan tawanan, berkata pembebasan dua warga Amerika itu sebagai “langkah pertama,” sambil menambah, “perbincangan sedang dijalankan untuk membebaskan lebih ramai lagi.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg