Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Ibu tunggal, warga S’pura dipenjara 7 tahun kerana abai dan aniaya kanak-kanak

Nov 01, 2023 | 07:45 PM



JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal dan rakan serumahnya yang juga warga Singapura masing-masing dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di taman perumahan Layangkasa, Pasir Gudang, pada 11 Ogos.


Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim VM Mabel Sheela di Mahkamah Sesyen pada Rabu (1/11) setelah ia ditangguhkan pada 10 Oktober kerana rakan serumah, Awiin Chua yang berusia 30 tahun, cuti sakit.

Menukil laporan media tempatan, ibu tunggal terbabit adalah Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27 tahun – ibu kandung Muhammad Eiman Darwish, iaitu si mangsa.

Mabel Sheela dalam penghakimannya sebak ketika membayangkan penderitaan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu yang didera dalam tempoh sebulan.

“Pertalian ibu dan anak adalah sangat istimewa, kalau anda (merujuk kepada ibu mangsa) tanya anak adakah dia ingin ikut anda, pasti dia akan mahu ikut, walaupun tahu akan rasa sakit.

“Mahkamah tidak boleh membayangkan keadaan mangsa jika keadaan berlarutan lebih lama dan tidak dibantu orang awam, pastinya mangsa akan meninggal dunia,” katanya.

Pertuduhan pertama terhadap Nurul Asyiqin dan Awiin adalah mereka didakwa menganiayai mangsa antara 1 Julai 2023 dengan 9 Ogos hingga mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua rakan serumah itu didakwa mengabaikan kanak-kanak berkenaan antara 1 Julai 2023 dengan 9 Ogos.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cik Nur Diyana Zubir, manakala kedua tertuduh diwakili peguam, Cik Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah.

Semasa berhujah Cik Nur Diyana berkata terdapat lebih 20 kecederaan fizikal terhadap tubuh mangsa berdasarkan hasil pemeriksaan yang dilakukan pakar perubatan.

Beliau menambah tempoh tertuduh melakukan penderaan terhadap mangsa adalah selama sebulan semasa kedua-dua tertuduh mempunyai penjagaan terhadap mangsa kerana tinggal bersama.

“Mangsa bukan saja dipukul tetapi turut diabaikan dengan meninggalkan mangsa keseorangan, dikunci di rumah tanpa makanan serta tidak menghalang atau menyelamatkan mangsa apabila dipukul,” katanya.

Selepas mengambil kira penghujahan pendakwaan, Hakim Mabel Sheela menetapkan tertuduh dipenjara tujuh tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Mahkamah seterusnya memerintahkan kedua tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bagi dua pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 12 Ogos 2023.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersekongkol menganiaya kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah penjagaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kedua ibu tunggal itu ketika mangsa di bawah penjagaan mereka.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 ($14,252) atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Ogos, Nurul Asyiqin dan Awiin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun, pada 27 September, kedua tertuduh mengubah pengakuan dan mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mabel Sheela. – Agensi berita




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >