Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Ikrar lebih $10 bilion bantu Pakistan atasi banjir

Jan 11, 2023 | 05:30 AM



GENEVA: Pakistan kelmarin berkata, penderma telah memberi jaminan memberikan lebih AS$8 bilion ($10 bilion) untuk membantunya pulih daripada banjir besar tahun lalu dalam apa yang dilihat sebagai ujian besar bagi mengetahui siapa yang harus membayar untuk bencana iklim.



Pegawai dari kira-kira 40 negara serta penderma swasta dan institusi kewangan antarabangsa sedang berkumpul untuk mesyuarat di Geneva, Switzerland, ketika Islamabad mencari bantuan untuk menampung kira-kira separuh jumlah harga pemulihan yang mencecah AS$16.3 bilion.



Banjir yang disebabkan oleh hujan monsun dan glasier cair yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,700 orang dan menyebabkan sekitar 8 juta orang kehilangan tempat tinggal mulai surut.



Menteri Penerangan Pakistan, Cik Marriyum Aurangzeb, dalam catatan di saluran media sosial, Twitter, menyatakan bahawa ikrar telah mencecah AS$8.57 bilion - lebih daripada yang dicari pada mulanya.



Antara penderma itu ialah Bank Pembangunan Islam (AS$4.2 bilion), Bank Dunia (AS$2 bilion), Bank Pembangunan Asia (AS$1.5 bilion) serta Kesatuan Eropah dan China, katanya.



Perancis dan Amerika Syarikat turut memberi sumbangan.



Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menggesa pelaburan besar-besaran untuk membantu Pakistan pulih daripada apa yang disebutnya sebagai "bencana iklim skala monumental".



"Pakistan menjadi mangsa dua kali ganda, disebabkan oleh bencana alam dan sistem kewangan global yang muflis secara moral," tambahnya.



Beliau kemudian menjelaskan dengan berkata, sistem semasa adalah "berat sebelah" yang lebih memihak negara-negara kaya yang mewujudkannya.



Pembiayaan tambahan adalah penting bagi Pakistan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat tentang keupayaannya untuk membayar import seperti tenaga dan makanan dan untuk memenuhi tanggungjawab melunaskan hutang pemerintah di luar negara.



Menteri kewangan Pakistan dilaporkan mengadakan pertemuan dengan delegasi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di luar mesyuarat di Geneva.



Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, berkata negara itu komited kepada program IMF tetapi beliau meminta IMF memberi mereka "ruang bernafas" bagi memenuhi komitmennya, tanpa mengulas lanjut.



Singapura turut menghulurkan bantuan untuk membantu mangsa banjir di Pakistan.



Sebelum ini Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) mendedahkan pihaknya telah mengumpul sekitar $1 juta sebagai sebahagian daripada responsnya untuk Pakistan.



Dalam pada itu Yayasan Rahmatan lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama dan masjid seluruh Singapura telah berjaya meraih sejumlah $432,852 dalam rayuan kecemasan membantu rakyat Pakistan.



Badan kemanusiaan Mercy Relief juga telah giat menyediakan kemudahan perlindungan sementara lebih lengkap bagi mangsa banjir meneruskan kehidupan.



Pengerusi pertubuhan bukan pemerintah (NGO) itu, Encik Satwant Singh pernah ditukil sebagai berkata keperluan tersebut adalah satu keperluan mendesak bagi masyarakat di situ.



Beliau berkata masyarakat terdedah kepada ancaman penyakit bawaan air, tersengat binatang seperti ular, serta memerlukan perlindungan menjelang musim sejuk tidak lama lagi.



Tindakan lain termasuk menyediakan skim bantuan kewangan bagi penduduk menyara hidup secara berdikari serta menyediakan kemudahan jagaan kesihatan percuma bagi wanita yang baru dan akan bersalin di sebuah kampung terjejas.



Mercy Relief menyasarkan mengumpul $500,000 bagi menyokong usaha berkenaan. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >