JAKARTA: Imam Besar Universiti Al-Azhar, Mesir, Sheikh Muhammad Ahmad Al Thayyib, bertemu Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, pada 9 Julai sebagai sebahagian daripada jelajah Asia Tenggaranya untuk mempromosikan Islam sederhana dan dialog antara agama.
Menteri Luar Indonesia, Cik Retno LP Marsudi, berkata bahawa semasa lawatan Sheikh Al Thayyib ke Istana Presiden di Jakarta, tiga topik dibincangkan, iaitu hubungan dua hala Indonesia-Mesir; keamanan dan toleransi; serta kepentingan dialog antara agama dalam masyarakat majmuk seperti Indonesia.
Lawatan Imam Besar itu hanya dua bulan sebelum lawatan Paus Francis pada September, yang juga dijadualkan untuk mempromosikan toleransi beragama di Indonesia, yang berbilang agama, lapor agensi berita Antara.
Cik Retno berkata Indonesia sentiasa memastikan Indonesia mengikuti peranan Al-Azhar dalam mempromosikan toleransi dan kesederhanaan beragama, sambil menekankan bahawa Encik Jokowi telah menanam nilai-nilai tersebut alam “DNA Indonesia”.
“Presiden juga menekankan kepentingan usaha kolektif untuk meningkatkan nilai toleransi dan keamanan melalui dialog antara agama bagi mencegah pertumbuhan ekstremisme dan Islamofobia,” ujar Cik Retno.
Turut dibincangkan adalah perang di Gaza, dengan dua pemimpin itu bersetuju bahawa gencatan senjata kekal, kemudahan akses kepada bantuan kemanusiaan dan keamanan segera adalah keutamaan sedang perang itu memasuki bulan kesembilan.
Cik Retno berkata mereka berdua bersetuju tentang keperluan untuk masyarakat antarabangsa terus mendesak gencatan senjata yang berkekalan dan pengagihan bantuan kemanusiaan tanpa gangguan kepada mereka yang memerlukan.
Kedua-duanya bersetuju mengenai keperluan segera menamatkan perang, dengan menekankan penyertaan negara-negara Islam agar menyuarakan mesej keamanan bagi Palestin, tambah Cik Retno.
Sementara itu, Universiti Al-Azhar akan menambah kuota biasiswa untuk pelajar Indonesia bagi 2024, umum Cik Retno.
Cik Retno berkata universiti Mesir itu kini mempunyai kira-kira 13,000 pelajar Indonesia, dengan 200 adalah penerima biasiswa pada 2023.
“Seramai 13,000 pelajar Indonesia itu merupakan peratusan yang sangat besar berbanding jumlah keseluruhan pelajar yang menuntut di Al-Azhar,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg