Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Implikasi sekiranya atau tidak Najib mendapat pengampunan diraja

Apr 18, 2023 | 05:30 AM



DESAS-DESUS sama ada mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak akan diberi pengampunan diraja atau tidak semakin bertiup kencang.



Ia bermula sejak 31 Mac lalu apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Encik Najib untuk menyemak keputusan kes penyelewengan dana RM42 juta ($12.6 juta) milik SRC International dalam skandal kewangan 1MDB.



Oleh itu, keputusan rayuan terakhir Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu yang mengekalkan sabitan bersalah hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Encik Najib tidak boleh dicabar lagi.



Ini bermakna mantan perdana menteri itu kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya untuk dibebaskan ialah menerusi pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.



Peguam Encik Najib, Datuk Mohamad Shafiee Abdullah, mengatakan permohonan pengampunan itu akan diperkukuhkan berdasarkan keputusan bertentangan salah seorang daripada panel lima orang hakim Mahkamah Persekutuan.



Dalam penghakiman tersebut, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebil, berkata beliau cenderung untuk memberikan Encik Najib pembebasan.



Namun empat orang ahli panel lain tidak bersetuju, menyebabkan keputusan majoriti empat berbanding satu untuk menolak permohonan semakan Encik Najib.



Beberapa hari kemudian Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara bersetuju mahu menghadap Yang Di Pertuan Agong untuk mempersembah permohonan memberi pertimbangan diraja kepada mantan presidennya itu.



Menurut penganalisis politik, apa juga keputusan permohonan pengampunan itu nanti akan membawa banyak implikasi politik pada kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.



Ini kerana Umno adalah rakan politik penting Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan pimpinannya dan beliau akan turut menjadi salah seorang anggota Lembaga Pengampunan yang akan membincangkan isu ini.



Namun, beliau menafikan akan timbul konflik kepentingan kerana ada proses yang perlu diikuti dan keputusan akhir adalah di bawah kuasa Yang Di Pertuan Agong.



"Tentunya kita akan patuh kepada peraturan dan syarat, ia melalui proses ditetapkan walaupun saya berada dalam proses itu.



"Akhirnya, seperti yang diketahui soal penganugerahan pingat dan soal pengampunan itu wewenang dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong," kata beliau dalam satu kenyataan kepada pihak media.



Lembaga Pengampunan di Raja dijangka bermesyuarat pada 28 April.



Penganalisis politik dan ekonomi, Datuk Dr Ramalan Yunus, berpendapat apa juga pandangan pakar perlembagaan tentang isu ini, kuncinya terletak pada Datuk Anwar.



Beliau berhak menasihati Yang Di Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan dalam isu ini.



"Dan sebagai orang yang pernah didakwa, dibicarakan dan dihukum sudah pasti beliau mempunyai budi bicara yang tersendiri dalam menangani isu ini," jelas Datuk Ramalan.



Menurutnya, kenyataan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman bahawa Encik Najib tidak mendapat perbicaraan adil akan memberi asas perundangan yang kukuh kepada pengampunan diraja



"Pembebasan Najib mampu mengukuhkan pembinaan semula Umno. Pemulihan kekuatan Umno akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan," kata Datuk Ramalan.



Namun begitu beberapa penganalisis politik berpendapat sebaliknya.



Apatah lagi kerana tidak kedengaran suara lantang daripada PH yang membantah usaha mendapatkan pengampunan diraja itu.



Menurut mereka, pengampunan Encik Najib akan melemahkan sokongan rakyat kepada PH dan ini bakal membawa padah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada Jun nanti.



Oleh kerana itu, ramai menjangka keputusan pengampunan Encik Najib tidak mungkin diumumkan sebelum PRN kerana ia mungkin akan memberi isyarat mengelirukan tentang pendirian kerajaan perpaduan sekarang ini.



Ini secara tidak langsung akan mengukuhkan sokongan rakyat pada parti pembangkang Perikatan Nasional (PN) menjelang PRN.



Namun, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohammed Khaled Nordin, yakin langkah itu tidak akan menjejas hubungannya dengan PH dan parti lain dalam kerajaan perpaduan.



Menurutnya, Umno hanya mahu menunjukkan penghargaannya kepada mantan perdana menteri itu.



  • Penulis mantan wartawan BH dan kini tinggal di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >