Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Imran Khan stabil selepas cubaan bunuh; gesa rakyat Pakistan teruskan bantahan

Nov 05, 2022 | 05:30 AM



LAHORE (Pakistan): Mantan perdana menteri Pakistan, Encik Imran Khan, berada dalam keadaan stabil di hospital semalam selepas satu cubaan membunuhnya apabila beliau ditembak di kaki.



Serangan ke atas konvoinya yang dilakukan seorang lelaki bersenjata telah membunuh seorang lelaki dan mencederakan sekurang-kurangnya 10 yang lain.



Insiden itu telah meningkatkan kepentingan dalam krisis politik yang mencengkam negara itu sejak Encik Imran digulingkan pada April lalu.



Encik Imran "stabil dan beliau baik-baik saja" di hospital Shaukat Khanum di bandar timur Lahore, kata doktornya, Dr Faisal Sultan, kepada agensi berita AFP semalam.



Khamis lalu, Encik Imran menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan akibat serangan yang berlaku semasa perhimpunan di wilayah timur Punjab.



Encik Imran menyalahkan Perdana Menteri Encik Shehbaz Sharif dan yang lain dalam pentadbirannya atas serangan itu, menurut Encik Asad Umar, seorang pemimpin kanan parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan pimpinan Encik Imran.



Encik Imran sempat bercakap dengan dua anggota kanan parti selepas ditembak dan meminta mereka menyampaikan kenyataannya, kata Encik Umar.



Encik Imran telah menggesa supaya Encik Sharif meletak jawatan atau menghadapi bantahan di seluruh negara, kata Encik Umar, sambil menambah bahawa aduan polis akan difailkan terhadap perdana menteri itu dan Menteri Dalam Negeri, Encik Rana Sanaullah.



Pemerintah pimpinan Encik Sharif telah mengecam insiden itu dan menggesa siasatan dijalankan.



Encik Sanaullah juga menolak dakwaan Encik Imran itu dan tuntutan PTI supaya Encik Sharif meletak jawatan.



Ketua menteri Wilayah Punjab, Encik Parvez Elahi, mengumumkan di Twitter pembentukan pasukan penyiasat bersama untuk menyiasat kejadian tembakan itu.



Encik Imran sedang mengetuai perarakan ke arah ibu kota Islamabad untuk menuntut pilihan raya awal apabila insiden itu berlaku.



Menyusuli kejadian itu, PTI menggesa bantahan di seluruh negara semalam menyebabkan ketegangan kekal tinggi di negara Asia Selatan itu.



"Hari ini (semalam), selepas solat Jumaat, akan ada protes di seluruh negara yang akan berterusan sehingga tuntutan Imran Khan dipenuhi," kata Encik Asad Umar, pembantu rapat Encik Imran, di Twitter.



Penyokong Encik Imran mula berkumpul semula awal semalam di tempat kejadian percubaan bunuh itu dengan ramai yang menggesa Encik Imran supaya meneruskan rancangannya.



"Perarakan mesti diteruskan. Ia tidak boleh berhenti. Orang ramai sangat marah, ia akan menjadi lebih sengit," kata Encik Ansar Bashir, 40 tahun, seorang penyokong yang berada di tapak kejadian, kepada Reuters.



Beliau berkata bahawa beliau berada kira-kira 10 meter dari tempat kejadian semasa Encik Imran ditembak.



Polis telah mengepung kawasan itu dan bekerja sepanjang malam untuk mengumpul bukti.



Kenderaan yang dinaiki Encik Imran, sebuah kontena yang dipasang di atas sebuah trak dengan pentas di atas, masih berada di jalan raya yang sibuk dengan kedai di bandar Wazirabad kira-kira 200 kilometer di timur Islamabad.



Beberapa kedai telah dibuka semula pada awal pagi, tetapi terdapat perasaan bimbang.



"Ini telah memberi nama buruk kepada Wazirabad. Beliau harus hentikan (bantahan), lebih banyak nyawa akan terkorban," kata Encik Tahirul Qamar, seorang pekerja perubatan yang datang ke pasar berhampiran tempat kejadian tembakan.



Polis tidak mengulas secara terbuka mengenai serangan itu.



Encik Imran bermalam di hospital di Lahore di bawah pengawasan doktor yang mengatakan nyawanya tidak dalam bahaya.



Beliau masih belum mengulas secara terbuka mengenai kejadian itu.



Menteri Kesihatan Punjab, Dr Yasmeen Rashid, juga ahli PTI, memberitahu Reuters bahawa dua peluru terkena Encik Imran di bahagian tulang kering dan paha. - AFP, Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >