India, China patah serangan lanun di perairan Somalia

NEW DELHI (India): Sebuah kapal tentera laut China dengan bantuan helikopter tentera laut India telah berjaya mematahkan serangan lanun ke atas sebuah kapal dagang di perairan Somalia pada Sabtu lalu (8 Apr), menurut kementerian pertahanan India, semalam.

Agensi berita Reuters melaporkan, kapal berkenaan dikenali sebagai 'OS 35' dan didaftarkan di Tuvalu, sebuah kepulauan di Selatan Pasifik.

Menurut kementerian pertahanan India, empat kapal tentera mereka yang berada di kawasan itu telah menyahut panggilan kecemasan kapal berkenaan dan tiba di lokasi awal pagi semalam.

Anak-anak kapal telah melindungi diri mereka dalam bilik kebal dalam kapal tersebut, sebaik mereka diserang - sejajar tatacara operasi keselamatan perkapalan.

"Sebuah helikopter Tentera Laut India telah mengadakan tinjauan dan risikan dari udara pada sebelah malam, dan semasa matahari terbit... (bagi) mengenalpasti kedudukan lanun, jika mereka masih berada di atas kapal," kata kementerian pertahanan itu dalam kenyataan mereka.

"Selepas itu... sepasukan anggota dari kapal tentera laut China telah menaiki kapal dagang berkenaan, dengan helikopter tentera udara India memberi perlindungan di udara bagi operasi yang dilakukan."

Kementerian pertahanan China dalam kenyataannya pula berkata, sebuah kapal tenteranya yang berkawal di perairan itu telah menyahut panggilan kecemasan daripada kapal berkenaan, yang telah dirampas oleh lanun.

Sebuah helikopter telah mengadakan tinjauan ke atas kapal itu sebelum 16 anggota pasukan khas tentera Chian dikerahkan untuk menyelamatkan kelasi yang ada.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan penglibatan India.

Kementerian pertahanan India berkata, kesemua 19 anak kapal warga Filipina berada dalam keadaan selamat dan kapten kapal mengucapkan terima kasih kepada tentera laut India atas respons dan memberi perlindungan di udara.

Kapal itu kini belayar dengan iringan kapal tentera ke pelabuhan yang ingin dituju.

Operasi Perdagangan Kelautan Britain, yang menyelaras laluan kapal di kawasan Teluk Aden berkata, lanun telah menggunakan sampan untuk mendekati kapal dagang.

Insiden terbaharu ini berlaku selepas lanun baru-baru ini cuba merampas perahu India yang dalam perjalanan dari Dubai ke Bossaso, sebuah bandar di Somalia.

Beberapa pakar ditukil sebagai berkata, beberapa pemilik kapal menjadi leka setelah menikmati suasana yang aman sejak beberapa ketika, dan ada diantara mereka menggunakan laluan yang dikenali sebagai Jurang Socotra antara Somalia dan Pulau Socotra, bagi menjimat masa dan kos - tanpa menghiraukan risiko serangan lanun.

Menurut Biro Kelautan Antarabangsa (IMB), semasa kemuncaknya pada 2011, lanun telah melancarkan 237 serangan di perairan Somalia dan menjadikan ratusan kelasi dan anak kapal sebagai tebusan mereka.

Tindakan mereka melibatkan AS$7 bilion ($9.85 bilion) kos ekonomi dunia, dengan lanun-lanun ini meraih AS$160 juta daripada wang tebusan.

Kementerian pertahanan China berkata, kapal dari tentera laut China telah membantu mengawal Teluk Aden dan perairan Somalia sejak 2008, dan telah memberi respons dalam beberapa serangan lanun dan menjalankan beberapa usaha menyelamat.

Galeri Foto