Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

India kini bergelut dengan 'ribut' virus: Modi

Bekalan oksigen di hospital kian berkurangan sedang negara itu bertarung dengan gelombang besar kedua Covid-19
Apr 22, 2021 | 5:30 AM
KEPERLUAN GENTING: Orang ramai berpusu-pusu mengisi semula balang gas oksigen bagi keperluan pesakit Covid-19 di pusat pengisian semula oksigen di Allahabad, India. - Foto AFP
KEPERLUAN GENTING: Orang ramai berpusu-pusu mengisi semula balang gas oksigen bagi keperluan pesakit Covid-19 di pusat pengisian semula oksigen di Allahabad, India. - Foto AFP -

NEW DELHI: Pihak berkuasa di Delhi menyatakan berlakunya kekurangan bekalan oksigen di hospital ibu kota India itu sedang Perdana Menteri, Encik Narendra Modi berkata, negaranya kini berdepan 'ribut' koronavirus yang menenggelamkan sistem kesihatan.

Encik Modi berkata, pemerintah persekutuan sedang bekerja sama dengan pemerintah tempatan di seluruh negara bagi memastikan adanya bekalan katil hospital, oksigen dan ubat lawan virus bagi memerangi gelombang besar kedua wabak Covid-19.

"Keadaan masih boleh ditangani sehinggalah beberapa minggu lalu. Gelombang kedua jangkitan datang seperti ribut," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan secara langsung di televisyen ke seluruh negara, mendesak rakyat agar kekal duduk di rumah dan tidak cemas sedang India berdepan dengan kecemasan kesihatan terburuk pernah dilaluinya.

Masalah kekurangan bekalan oksigen menjadi runcing sehingga sepasukan anggota polis dari Jaripatka, Maharashtra, di kawasan semenanjung barat India, berdepan dengan siasatan selepas dikatakan menggunakan kekerasan bagi mendapatkan bekalan balang oksigen untuk 15 pesakit tenat yang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Kamptee Road.

Laporan The Times of India kelmarin melaporkan, anggota polis telah berjaya mendapatkan bekalan oksigen itu yang bekalannya cukup untuk dua jam sahaja untuk dibawa ke hospital, dengan merompak loji bekalan oksigen.

Dalam pada itu, mayat mangsa Covid-19 bertali arus memenuhi rumah mayat, tanah perkuburan dan pusat pembakaran mayat di India, terpaksa menunggu giliran untuk upacara terakhir.

Belum selesai menguburkan jenazah yang ada ketika musim panas melanda New Delhi, seorang penggali kubur, Encik Mohammed Shamim dikejutkan bunyi siren ambulans membawa satu lagi jenazah.

Katanya, beban kerja penggali kubur semakin bertambah di negara itu selepas kematian akibat wabak meningkat mendadak sejak beberapa minggu kebelakangan.

Pada Jumaat lalu (16 Apr), ketika agensi berita AFP mengunjungi tanah perkuburan Jadid Qabristan Ahle di ibu negara India, yang kini menguatkuasakan perintah berkurung selama seminggu, terdapat purata 11 mayat dibawa untuk dikebumikan selang setiap tiga jam.

Menjelang matahari terbenam, sudah ada 20 mayat dikumpulkan di tanah perkuburan menunggu giliran untuk dikebumikan.

Encik Shamim, 38 tahun, berkata ruang kubur mungkin habis dalam masa tiga atau empat hari lagi jika keadaan itu berterusan.

Malah, tambah beliau, ada anggota keluarga yang datang menempah ruang kubur ketika mangsa sedang nazak di hospital.

Di sekitar tanah perkuburan, beg jenazah warna putih atau keranda yang diperbuat daripada kayu murah dibawa oleh petugas lengkap berpakaian pelindung diri (PPE) warna biru atau kuning, menurunkan jenazah ke liang lahad.

Sekelompok kecil lelaki berkopiah terpaku memandang liang lahad dari jauh, sayup-sayup kedengaran suara imam membacakan doa di tengah hujan.

Secara rasmi, lebih 180,000 rakyat India maut akibat wabak Covid-19 termasuk lebih 15,000 hanya pada bulan ini, namun ada yang percaya jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Laporan media sosial dan akhbar dibanjiri gambar memaparkan barisan demi barisan api tempat pembakaran mayat yang seakan sudah tidak dapat menampung lagi kematian.

Di Ghaziabad di luar New Delhi, gambar di televisyen menunjukkan mayat dibalut kain kapan diletakkan sebaris panjang di kaki lima dengan saudara-mara meratap menunggu slot mengebumikan orang tersayang mereka.

Di negeri bahagian barat Gujarat, banyak pusat pembakaran mayat di Surat, Rajkot, Jamnagar dan Ahmedabad beroperasi tanpa henti dengan menerima tiga hingga empat kali ganda mayat untuk diuruskan berbanding biasa. - AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg