Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indo henti sementara edar vaksin AstraZeneca, arah ujian susuli kesan sampingan

May 18, 2021 | 5:30 AM
b9bd9a9c-a19c-4100-8258-f36c44cbc6aa
-

JAKARTA: Indonesia telah menggantung pengedaran sekelompok 450,000 vaksin antivirus Covid-19, AstraZeneca, dan mengarahkan ujian dilakukan bagi mengetahui tahap kesterilan dan ketoksikan yang ada susulan kematian seorang pemuda berusia 22 tahun selepas imunisasi, menurut kementerian kesihatan Indonesia, kelmarin.

Pemuda tersebut meninggal dunia 13 hari lalu, menurut laporan The Jakarta Globe.

Kesterilan ditakrifkan Kamus Dewan sebagai "keadaan bebas daripada mikroorganisma hidup dan sporanya secara menyeluruh".

Ketoksikan bermakna "keupayaan bahan kimia menyebabkan kesan mudarat ke atas manusia, haiwan atau tumbuhan".

Kelompok vaksin AstraZeneca yang dilabelkan sebagai "CTMAV547" melibatkan 448,480 dos vaksin yang tiba di Indonesia pada bulan lalu - sebagai sebahagian daripada pengiriman lebih 3.85 juta dos dari Kemudahan Covax, yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebahagian dos ini telah diedarkan ke ibu kota Jakarta, dan wilayah di Sulawesi Selatan, serta diserahkan kepada pihak tentera, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang ditukil agensi berita Reuters kelmarin.

Satu jawatankuasa nasional yang bertanggungjawab memantau kesan vaksinasi koronavirus, telah memulakan siasatan awal bulan ini selepas kematian itu berlaku setelah menerima suntikan AstraZeneca.

Pemuda itu menerima dosnya dari kelompok CTMAV547, menurut jurucakap kementerian kesihatan itu, Cik Siti Nadia Tarmizi memberitahu Reuters.

"Ini adalah satu langkah berhati-hati oleh pemerintah bagi memastikan keselamatan vaksin ini," katanya dalam satu kenyataan, dan menambah pengedaran kelompok lain vaksin AstraZeneca tidak akan terjejas.

Badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Indonesia (BPOM) berkata, hasil ujian ke atas kelompok vaksin yang terjejas akan mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg