Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Indonesia bakal buka Bali, Batam, Bintan kepada pengunjung asing, tetapi bukan dari S'pura

Oct 11, 2021 | 11:43 PM



JAKARTA: Indonesia sedang mempersiapkan langkah membuka semula Bali dan Kepulauan Riau kepada pengunjung asing daripada beberapa negara terpilih minggu ini dalam usaha membangkitkan semula industri pelancongan.



Menteri Kanan, Encik Luhut Pandjaitan, memberitahu media dalam satu taklimat pada Isnin (11 Oktober) bahawa pengunjung daripada 18 negara akan dibenarkan masuk tetapi Singapura bukan dalam kalangan negara yang tersenarai itu.



Lapangan terbang di Bali dan Kepulauan Riau - di mana pulau pelancongan terkenal Batam dan Bintan itu berada - dijadualkan dibuka semula pada Khamis. Kedua-dua wilayah ini adalah dalam kalangan daerah yang mempunyai kadar liputan vaksinasi tertinggi di Indonesia.



Sekitar 98 peratus daripada penduduk Bali seramai 4.4 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan vaksin Covid-19 manakala lebih 80 peratus pula sudah menjalani vaksinasi lengkap. Di Kepulauan Riau pula, 83 peratus penduduk telah menerima suntikan pertama manakala 58 peratus pula telah lengkap divaksin.



Indonesia, yang paling teruk terkena tamparan pandemik ini di Asia Tenggara dengan lebih empat juta kes dan lebih 140,000 kematian telah menyatakan ia akan membuka semula negara itu secara berhati-hati dan mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak satu lagi gelombang jangkitan.



Encik Luhut berkata hanya pengunjung dari negara dengan tahap jangkitan lebih rendah dan kadar positiviti 5 peratus ke bawah dibenarkan masuk ke Indonesia. Kadar positiviti ini menggambarkan peratusan penduduk yang diuji positif bagi virus Covid-19 dalam kalangan mereka yang telah diuji.



Pengunjung ini masih perlu menjalani kuarantin setibanya di Indonesia tetapi bagi tempoh lebih ringkas selama lima hari, jelas Menteri Penyelaras Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, di sidang media yang sama. Sebelum ini, kedatangan pengunjung asing memerlukan mereka menjalani kuarantin lapan hari.



Mereka juga perlu memiliki insuran rawatan Covid-19 yang sah dengan liputan sekurang-kurangnya AS$100,000 ($135,000) dan membayar bagi penginapan hotel bagi tempoh kuarantin lebih awal lagi.



"Pembukaan semula tempat-tempat ini akan dianggap seperti usaha percubaan yang kemudian diteladani di tempat lain apabila sampai masanya," jelas Encik Airlangga.



Buat masa ini, hanya pengunjung asing dengan urusan visa diplomatik atau visa pekerjaan dibenarkan memasuki Indonesia menerusi lapangan terbang antarabangsa yang memberi khidmat di Jakarta dan Sulawesi Utara.



Orang lain yang dibenarkan masuk termasuk pekerja perubatan yang menjalankan misi kemanusiaan dan kru kargo perkapalan,



"Pembukaan semula ini dijangka akan membantu Bali, dengan ekonominya hari ini jauh di bawah tempoh prapandemik, untuk pulih," jelas Encik Luhut.



Pemerintah Indonesia, awal sebelum ini, berkata Bali akan dibuka semula buat pelancong asing dari Korea Selatan, China, Jepun dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).



Encik Luhut tidak menamakan 18 negara dalam senarai yang diluluskan tetapi mengatakan Menteri Ehwal Domestik, Encik Tito Karnavian, akan mengeluarkan surat pekeliling mengenai hal ini.



Apabila ditanya mengenai pengunjung dari Singapura yang merupakan sumber pelancong tertinggi bagi Indonesia sebelum pandemik ini, Encik Luhut berkata:



"Terdapat senarai 18 negara yang akan diumumkan tetapi Singapura, saya rasa, tidak ada dalam senarai ini kerana ia mungkin tidak memenuhi ketetapan."



Beliau merujuk pada garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menilai situasi Covid-19 secara menyeluruh di sesebuah negara.



Indonesia, negara keempat di dunia dengan jumlah paling ramai penduduk, berupaya membawa kes Covid-19 terkini yang meningkat secara mendadak di dalam kawalan. Kes di Indonesia meningkat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Mei.



Jumlah purata jangkitan selama tujuh hari memuncak pada pertengahan Julai dengan 50,000 kes setiap hari. Jumlahnya merosot kepada 1,200 kes kini.



Kadar kematian harian Indonesia juga merosot daripada angka purata tujuh hari sebanyak 1,700 kes pada awal Ogos kepada 80 kes sejak beberapa hari lalu. - The Straits Times



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >