JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia berkata semalam (10 November) mereka telah berhenti mencari mangsa satu nahas kapal terbang yang mengorbankan 189 orang.
Namun, mereka akan terus mencari kotak hitam kedua pesawat Lion Air itu, yang merupakan perakam suara kokpitnya.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), Encik Muhamad Syaugi, memberitahu media:
"Tiada tempat lagi untuk mencari dan kami sudah menghentikan usaha mencari mayat mangsa. Kami akan mengehadkan operasi kami untuk sekadar memantau."
Pesawat Lion Air itu terhempas di Laut Jawa pada 29 Oktober lalu, hanya beberapa minit setelah berlepas dari Jakarta menuju ke Pulau Bangka, dekat Sumatera.
Encik Muhamad Syaugi berkata 77 mangsa telah dikenal pasti menyusuli pemeriksaan forensik sejauh ini.
Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Negara (KNKT) Indonesia, Encik Soerjanto Tjahjono, berkata perakam suara kokpit itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa memahami sepenuhnya punca nahas penerbangan JT610 itu. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg