
JAKARTA: Indonesia berhasrat untuk membeli 250,000 buah motosikal elektrik dan unit yang sudah diubah suai, menjelang hujung tahun 2023 ini, seperti yang diumumkan Isnin lalu.
Ia juga memaklumkan bahawa insentif bernilai tujuh juta rupiah ($615) tunai, akan diberikan kepada mereka yang ingin menukar motosikal mereka kepada yang berkuasa elektrik, mulai 20 Mac ini.
Insentif itu adalah untuk motosikal baru dan yang menggunakan enjin pembakaran dan diubah suai kepada kuasa elektrik (EV).
Sekurang-kurangnya 40 peratus komponen kedua-dua jenis motosikal itu, harus buatan tempatan.
Pengilang tidak dibenarkan menaikkan harga semasa tempoh pemberian insentif itu, yang akan berjalan hingga hujung tahun 2023 ini.
Demikian menurut Menteri Penyelaras Maritim dan Pelaburan Industri, Encik Luhut Pandjaitan, dalam satu taklimat media, lapor The Straits Times.
Pemerintah Indonesia juga akan memberikan insentif bagi pembelian 35,900 buah kenderaan elektrik baru beroda empat, sehingga hujung 2023, kata Encik Luhut.
Beliau menambah jumlah subsidi tunai akan diumumkan kemudian.
Beliau tidak pula mengatakan bila inisiatif tersebut akan mula diberikan.
Langkah itu diambil, setelah Indonesia, sebuah kuasa ekonomi terbesar di Asia Tenggara, membuka pintu kepada penggunaan EV dan cuba menarik pengeluar EV global, untuk menyediakan kemudahan dan membantu untuk membangunkan ekosistem di negara itu.
Pemerintah Indonesia telah memperkenalkan beberapa langkah untuk menarik pelaburan, termasuk menawarkan pengecualian cukai selama 20 tahun, dan sektor swasta pula ditawarkan beberapa insentif untuk menggalakkan mereka membuat pelaburan.
"Lain-lain negara, termasuk negara jiran kita, sudah mula menggerakkan langkah bagi penggunaan kenderaan elektrik, dengan menawarkan pelbagai insentif.
"Indonesia perlu melakukan sesuatu agar setara, malah lebih dari itu, agar menjadi lebih tertarik bagi pengeluar EV," kata Encik Luhut semasa taklimat media itu.
"Kami sedang berunding dengan dua pelabur besar yang berhasrat untuk masuk ke Indonesia.
"Mereka ingin melihat sama ada Indonesia turut menawarkan insentif yang sama seperti negara-negara yang lain."
Pemerintah Indonesia sedang cuba menarik pengeluar EV dan tenaga terbesar, Tesla, supaya melabur dalam pengeluaran bateri dan kereta di negara itu, yang mempunyai seperempat daripada rizab nikel sedunia, iaitu bahan mentah utama bagi pembuatan bateri EV.
Penggunaan EV juga merupakan keutamaan bagi Indonesia dalam peralihan penggunaan tenaganya, iaitu untuk mencapai sasaran pelepasan sifar.
Sektor pengangkutan menyumbang kepada 25 peratus pengeluaran karbon di Indonesia, menurut laporan Ketelusan Iklim 2022.
Pengumuman pada Isnin lalu merupakan langkah berani pemerintah untuk membangunkan ekosistem yang bersih.
Sebelum ini, ia telah memperkenalkan sistem cukai penjualan kenderaan yang rendah, cukai tahunan kenderaan, pengecualian daripada peraturan pembatasan lalulintas iaitu berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan genap dan ganjil, dan tidak perlu membayar wang pendahuluan untuk pembiayaan pembelian.
Indonesia menyasarkan 13 juta motosikal elektrik dan dua juta kenderaan empat roda EV, menjelang 2030.
Hari ini, terdapat sekitar 119.5 juta motosikal yang berdaftar, dan 12,000 daripadanya adalah yang menggunakan kuasa elektrik.
Terdapat 23.3 juta kereta yang berdaftar, 2,700 daripadanya adalah EV.
Motosikal elektrik tidak banyak memerlukan penyelenggaraan, kerana tidak perlu ganti minyak enjin dan menggunakan kuasa tenaga yang lebih murah.
Harga satu liter petrol yang biasa digunakan bagi motosikal, adalah 10,000 rupiah, sementara tarif bagi 1.2 kilowatt (KWh) elektrik, sama anggaran dengan satu liter petrol, adalah kira-kira 1,730 rupiah.
Menteri Perindustrian, Encik Agus Gumiwang Kartasasmita, yang turut hadir di majlis taklimat media Isnin lalu, menjelaskan bahawa subsidi wang tunai dari pemerintah akan disalurkan melalui pengilang yang layak.
Beliau berkata, sehingga Isnin lalu, terdapat dua jenama kenderaan empat roda yang layak - Hyundai Ionic 5 dan Wuling Air EV - dan tiga jenama motosikal yang layak - Gesits, Volta dan Selis.
"Kami salurkan bantuan pemerintah ini melalui pengeluar berkenaan supaya mudah dikawal.
"Sebarang pengeluar boleh mendaftarkan pengeluaran mereka untuk disahkan," kata Encik Agus Gumiwang.
Beliau menarik perhatian bahawa para pengilang akan mendapat bayaran balik bagi setiap produk yang layak di bawah program ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg