MEDAN: Empat orang ditangkap di Indonesia kerana didakwa mencuri vaksin Covid-19 yang dikhususkan buat banduan serta menjualnya kepada orang awam, kata pihak berkuasa Indonesia pada Selasa (25 Mei).
Mereka yang disyaki ini mengambil lebih daripada 1,000 dos suntikan Sinovac (China) daripada kuota banduan. Vaksin tersebut kemudian ditawarkan kepada pembeli di ibu kota Jakarta dan kota Medan dengan harga 250,000 rupian ($23) bagi setiap dos suntikan.
Empat yang diberkas ini termasuk seorang doktor di penjara Medan dan pegawai kesihatan tempatan, jelas polis. Mereka boleh menerima hukuman bunuh jika didapati bersalah di bawah undang-undang Anti-Rasuah Indonesia.
"Salah seorang daripada yang disyaki ini membawa vaksin ke Jakarta di mana kami juga menemui pihak atau lokasi yang menyediakan khidmat bekalan vaksin ini," kata jurucakap polis Sumatra Utara, Hadi Wahyudi, kepada agensi berita AFP pada Selasa (25 Mei).
Indonesia terjejas teruk oleh pandemik koronavirus ini dan mengusahakan program vaksinasi besar-besaran buat kebanyakan daripada hampir 270 juta penduduknya.
Sedang penduduk negara itu mendapat suntikan tanpa bayaran, jutaan yang lain masih menanti suntikan pertama mereka kerana bekalan yang terhad dan diutamakan buat pekerja kesihatan barisan hadapan serta kumpulan berisiko tinggi lain termasuk banduan di penjara Indonesia yang sesak. - AFP