JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah berjaga-jaga di seluruh negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara itu semalam untuk menghindari kemungkinan berlakunya gangguan, seperti pelanggaran peraturan Covid-19, tindakan pengganas atau serangan militan.
Satu upacara menaikkan bendera di ibu kota Jakarta diatur pagi semalam dengan jumlah hadirin yang terbatas di lokasi acara.
Menurut agensi berita, sekatan jalan telah dibuat dan sekitar 300 pegawai polis trafik dikerahkan untuk meningkatkan keamanan.
Acara menaikkan bendera itu disiarkan secara langsung dan Presiden Joko Widodo telah meminta orang ramai supaya merayakan Hari Kemerdekaan secara maya kerana adanya pandemik Covid-19 sekarang.
Sehingga kini, Indonesia telah melaporkan sekurang-kurangnya 3.87 juta kes Covid-19 dengan lebih 118,000 kematian.
Di kota-kota lain di luar Jakarta, pihak berkuasa juga meningkatkan kawalan kerana 48 suspek pengganas telah ditangkap di beberapa wilayah sejak Khamis lalu.
Kelmarin, unit antipengganasan Densus 88 menangkap tujuh orang yang disyaki pengganas dalam operasi berasingan di wilayah Sumatera Utara, Kalimantan Timur, Jawa Timur dan Sulawesi Selatan.
Pada hari sebelumnya, Densus 88 menangkap empat suspek di wilayah jiran Jakarta, Banten dan Jawa Barat.
Namun, Jakarta kelmarin melonggarkan beberapa sekatan di lapan daerah di pulau Jawa dan Bali - yang paling padat dengan penduduk - kerana jumlah jangkitan yang berkurangan.
Pelonggaran sekatan itu, termasuk membenarkan makan di restoran pada kapasiti 25 peratus dan meningkatkan kapasiti di pusat beli-belah bagi wilayah yang sebelum ini dikenakan sekatan ketat. - Agensi berita