Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia dakwa S’pura jual semula gas asli ke negara lain
Perdagangan dan eksport semula LNG tidak salah di sisi undang-undang selagi patuhi syarat
Indonesia dakwa S’pura jual semula gas asli ke negara lain
JAKARTA: Indonesia mendakwa Singapura menjual semula sebahagian gas asli cecair (LNG) yang dibeli daripada republik itu kepada negara lain, ketika kedua-dua negara berdepan perbezaan pendirian berhubung bekalan tenaga dan masalah jerebu rentas sempadan.
Menteri Penyelaras Hiliran dan Peralihan Tenaga Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, berkata beliau percaya tidak semua LNG yang dieksport Indonesia ke Singapura digunakan untuk memenuhi keperluan domestik negara itu.
Sebaliknya, beliau mengesyaki sebahagian bekalan tersebut diniagakan dan dieksport semula ke pasaran antarabangsa.
“Saya percaya bukan semua daripada 148 kargo LNG yang kami hantar digunakan untuk keperluan Singapura sendiri, tetapi sebahagiannya diniagakan dan kemudian dieksport ke negara lain,” katanya kepada wartawan selepas menemui Presiden Prabowo Subianto, di Istana Presiden, Jakarta, pada 29 Oktober.
Bagaimanapun, Encik Bahlil tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut atau menjelaskan tempoh penghantaran 148 kargo berkenaan.
Perdagangan dan eksport semula LNG bukanlah sesuatu yang menyalahi undang-undang dengan sendirinya, selagi urus niaga itu mematuhi syarat perjanjian bekalan antara pihak terbabit.
Kenyataan Encik Bahlil dibuat selepas Indonesia mula mengurangkan eksport gas asli melalui saluran paip ke Singapura pada 24 Oktober bagi mengutamakan keperluan tenaga domestik.
Encik Bahlil, yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, menegaskan bahawa pengurangan bekalan gas ke Singapura tidak melanggar sebarang perjanjian perdagangan antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, Indonesia mengurangkan penghantaran gas melalui saluran paip sebanyak 31 juta kaki padu standard sehari, bersamaan kira-kira 8 peratus daripada jumlah eksport yang sebelum ini dilaporkan sebanyak 409.5 juta kaki padu sehari.
Pengurangan itu, katanya, masih di bawah had 10 peratus yang menurut beliau boleh menyebabkan pelanggaran kontrak.
“Kami tidak melepasi had minimum yang ditetapkan dalam kontrak, jadi sebenarnya tiada masalah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa langkah tersebut perlu bagi memastikan bekalan gas mencukupi untuk loji janakuasa elektrik dan sektor perindustrian Indonesia.
Pengeluaran beberapa telaga gas dilaporkan merosot akibat kerja penyelenggaraan berjadual, menyebabkan pemerintah terpaksa mengalihkan sebahagian bekalan eksport kepada pengguna domestik.
Menurut pengawal selia minyak dan gas Indonesia, SKK Migas, pengurangan bekalan itu membolehkan lebih banyak gas disalurkan untuk penjanaan elektrik di Batam, Bintan dan Sumatera.
Bagaimanapun, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) Singapura sebelum ini menjelaskan bahawa berdasarkan maklumat pengimport, pengurangan sebenar berjumlah 17 bilion unit haba British (BTU) sehari selama 18 hari.
Jumlah tersebut mewakili kurang 2 peratus daripada keseluruhan permintaan gas harian Singapura.
Encik Bahlil turut memberi jaminan bahawa Indonesia tidak mempunyai rancangan segera untuk mengurangkan eksport LNG ke Singapura.
Beliau menegaskan bahawa Jakarta tetap komited memenuhi kewajipan kontrak, selagi penyesuaian bekalan dibuat mengikut syarat perjanjian.
Isu itu mendapat perhatian selepas Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, pada 25 Oktober menegaskan bahawa republik ini menjangkakan semua pihak menghormati komitmen perdagangan yang telah dipersetujui.
Encik Bahlil kemudian membalas pada 26 Oktober dengan menegaskan bahawa Indonesia sentiasa memenuhi tanggungjawab kontraknya dan tidak perlu diberikan peringatan mengenai perkara tersebut.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin kanan Indonesia menggesa kedua-dua negara supaya tidak membiarkan perbezaan pendirian itu menjejas hubungan dua hala.
Pengerusi Majlis Ekonomi Nasional Indonesia, Encik Luhut Binsar Pandjaitan, berkata isu pengurangan bekalan gas tidak sepatutnya mencetuskan pertikaian antara dua negara jiran yang mempunyai hubungan ekonomi rapat.
“Mengapa kita perlu bergaduh dengan Singapura? Tiada sebab untuk berbuat demikian,” katanya kepada wartawan pada 27 Oktober.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan Encik Bahlil mengenai isu berkenaan.
Menteri Pelaburan Indonesia, Encik Rosan Roeslani, pula menegaskan bahawa komitmen pelaburan Singapura di Indonesia tidak terjejas meskipun wujud perbezaan pendirian mengenai bekalan gas dan jerebu.
Singapura kekal sebagai sumber pelaburan langsung asing terbesar Indonesia sejak 2014, dengan nilai pelaburan mencecah AS$17.4 bilion ($22.3 bilion) pada 2025.
Encik Rosan berkata beliau telah menemui Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, semasa lawatan beliau ke Jakarta dan kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama pelaburan.
Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Indonesia, Cik Shinta Kamdani, turut berharap pertemuan antara Encik Prabowo dengan Dr Balakrishnan pada 28 Oktober dapat membantu menyelesaikan perbezaan pendirian.
“Saya yakin pertemuan itu akan membawa kepada penyelesaian,” katanya.
Menurut beliau, setakat ini tiada tanda minat pelabur Singapura terhadap sektor ekonomi sebenar Indonesia semakin berkurangan.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pertikaian berpanjangan boleh mempengaruhi sentimen pasaran kewangan.
Selain bekalan gas, kedua-dua negara turut berdepan perbezaan pandangan mengenai jerebu rentas sempadan dan keselamatan kabel komunikasi dasar laut.
Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Cik Meutya Hafid, sebelum ini mengingatkan bahawa sebahagian besar rangkaian kabel Internet Singapura melalui perairan Indonesia.
Kenyataan itu menyusuli pandangan bekas Anggota Parlimen Dilantik Singapura, Encik Calvin Cheng, mengenai kemungkinan gangguan terhadap sambungan Internet Indonesia.
Bagaimanapun, Cik Meutya menegaskan bahawa prasarana digital perlu dilindungi bersama demi kepentingan kedua-dua negara.
Dalam isu jerebu pula, Indonesia menyambut baik langkah Singapura memanggil wakil 10 syarikat untuk mendapatkan penjelasan mengenai kemungkinan kaitan mereka dengan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.
Semasa lawatan Dr Balakrishnan ke Jakarta dari 27 hingga 29 Oktober, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan pasukan bertindak bersama bagi meningkatkan perkongsian maklumat dan menyelaraskan penguatkuasaan untuk menangani masalah jerebu.
Pertemuan Dr Balakrishnan dengan Encik Prabowo pada 28 Oktober turut memperlihatkan komitmen kedua-dua negara untuk mengekalkan hubungan erat meskipun berdepan beberapa isu yang memerlukan penyelesaian. – Agensi berita