Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia didesak lindungi pelarian ekoran aksi usir etnik Rohingya

Agensi ehwal pelarian UNHCR merayu tindakan segera diambil berikutan serangan di Banda Aceh
Dec 28, 2023 | 2:13 PM
DIUSIR: Pelarian Rohingya keluar dari perkarangan bangunan pemerintah selepas pelajar universiti menyerbu tempat perlindungan sementara mereka dan memaksa mereka supaya berpindah ke tempat lain, dalam kejadian di Banda Aceh pada 27 Disember.
DIUSIR: Pelarian Rohingya keluar dari perkarangan bangunan pemerintah selepas pelajar universiti menyerbu tempat perlindungan sementara mereka dan memaksa mereka supaya berpindah ke tempat lain, dalam kejadian di Banda Aceh pada 27 Disember. - Foto AFP

BANDA ACEH: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah mengeluarkan gesaan dengan mendesak pihak berkuasa Indonesia supaya mengambil tindakan segera dalam melindungi etnik Rohingya di Banda Aceh, susulan percubaan pengusiran etnik tersebut yang berlaku baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, UNHCR menyatakan kekesalan mendalam terhadap kejadian di mana kumpulan perusuh menyerbu tempat perlindungan yang menampung keluarga pelarian, dengan majoriti terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.

Sekumpulan besar pelajar Indonesia menyerbu sebuah pusat konvensyen yang menempatkan ratusan pelarian Rohingya dari Myanmar di bandar Banda Aceh pada 27 Disember menuntut agar mereka dihantar pulang, menurut laporan agensi berita Reuters.

UNHCR berkata dalam satu kenyataan, bahawa ia “sangat terganggu melihat serangan kumpulan perusuh di tapak yang melindungi keluarga pelarian yang terdedah, (majoriti) kanak-kanak dan wanita” dan meminta perlindungan yang lebih baik.

“Perusuh itu melanggar kepungan polis dan memaksa 137 pelarian menaiki dua trak, dan memindahkan mereka ke lokasi lain di Banda Aceh. Kejadian itu menyebabkan pelarian terkejut dan trauma,” katanya.

Jurucakap polis bandar di Banda Aceh, tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan mengenai insiden itu.

Rakaman video menunjukkan para pelajar itu, ramai yang memakai jaket hijau, berlari menuju ke ruang besar tingkat bawah bangunan konvensyen tersebut, di mana sekumpulan warga Rohingya duduk di atas lantai dan menangis ketakutan.

Mereka kemudian diiringi keluar dari bangunan itu, ada yang membawa barang-barang mereka dalam kantung plastik, menuju ke trak, dengan diperhatikan oleh penunjuk perasaan.

Pelarian Rohingya telah mengalami tentangan yang semakin meningkat di Indonesia, apabila penduduk tempatan berasa kecewa dengan semakin banyak bot yang tiba dengan membawa etnik minoriti itu, yang menghadapi penganiayaan di Myanmar, di mana majoritinya beragama Buddha.

Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo telah menyalahkan lonjakan ketibaan baru-baru ini atas pemerdagangan manusia dan berjanji untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa untuk menawarkan tempat tinggal sementara.

Menurut UNHCR lebih 1,500 Rohingya telah mendarat di Indonesia sejak November.

Ketibaan mereka meningkat antara November dengan April, apabila keadaan laut lebih tenang, dan pelarian Rohingya itu menaiki bot untuk pergi ke negara jiran Thailand dan Indonesia serta Malaysia, yang mempunyai ramai penduduk beragama Islam.

Seorang pelajar, Wariza Anis Munandar, 23 tahun, dari Banda Aceh bercakap pada perhimpunan bantahan itu pada 27 Disember, menggesa pengusiran pelarian Rohingya.

Sementara seorang lagi pelajar, Della Masrida, 20 tahun, berkata “mereka (pelarian Rohingya itu) datang ke sini tanpa diundang dan berasakan seolah-olah ini adalah negara mereka”.

Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 mengenai Pelarian, tetapi mempunyai sejarah menerima pelarian jika mereka tiba.

Selama bertahun-tahun, Rohingya telah meninggalkan Myanmar, di mana mereka secara umumnya dianggap sebagai penceroboh asing dari Asia Selatan, dinafikan kewarganegaraan dan tertakluk kepada penderaan.

Menurut UNHCR, Indonesia – dengan tradisi kemanusiaannya yang telah lama wujud – telah membantu menyelamatkan mereka yang terdesak itu daripada mati di laut, seperti ratusan yang lain. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg