Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia gegas siapkan lapangan terbang jelang pembukaan ibu kota baru, Nusantara

Lapangan Terbang Nusantara dijadualkan siap pada 1 Ogos dengan percubaan pada Julai, tepat pada masanya untuk sambutan Hari Kemerdekaan negara, yang juga hari perasmian ibu negara
Jun 18, 2024 | 1:29 PM
Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo meninjau pada 5 Jun 2024, lokasi yang akan digunakan untuk memperingati sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79 di ibu kota Nusantara, yang terletak di Kalimantan Timur.
Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo meninjau pada 5 Jun 2024, lokasi yang akan digunakan untuk memperingati sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia ke-79 di ibu kota Nusantara, yang terletak di Kalimantan Timur. - Foto FACEBOOK JOKO WIDODO

JAKARTA: Pemerintah Indonesia berlumba dengan masa untuk menyiapkan lapangan terbang baru untuk ibu kota Nusantara (IKN) menjelang perasmian bandar itu tetapi pakar memberi amaran tindakan tergesa-gesa itu boleh menjejas keselamatan.

Lapangan Terbang Nusantara, yang pada mulanya ditetapkan hanya melayani tetamu penting negara itu, dijadualkan siap pada 1 Ogos dengan percubaan pada Julai, menurut Menteri Pengangkutan, Encik Budi Karya Sumadi, tepat pada masanya untuk perasmian sempena Hari Kemerdekaan pada 17 Ogos.

Bagaimanapun, pensijilan operasi masih belum lengkap.

“Ini memang kerja tergesa-gesa,” timbalan pengerusi Persatuan Pengangkutan Indonesia (MTI), Encik Djoko Setijowarno, memberitahu The Jakarta Post.

“(Tetapi) kawalan kualiti tidak boleh dilanggar, walaupun proses pembinaan berlumba dengan masa dan musim hujan.”

Had teknikal, khususnya berkaitan penurapan landasan, memerlukan masa untuk penyelesaian yang betul, jelasnya.

Tergesa-gesa peringkat ini boleh membawa kepada isu masa depan dan pembaikan yang mahal, sama seperti projek lebuh raya yang merosot sejurus selepas dirasmikan.

“Jika (pembinaan lapangan terbang) tidak dapat disegerakan, saya cadangkan supaya katakan sahaja hal yang sebenar.

“Aktiviti Presiden (di IKN) juga tidak begitu kerap sehingga memaksa kita mengambil risiko dan menghadapi masalah kemudiannya,” kata Encik Djoko, yang telah melawat tapak lapangan terbang itu beberapa kali.

Lapangan Terbang Nusantara, yang pembinaannya bermula pada November 2023, terletak di atas tanah seluas 347 hektar dan mempunyai terminal seluas 7,350 meter persegi.

Walaupun landasan 3,000 meter yang dirancang pada asalnya boleh menampung pesawat komersial yang besar, tumpuan semasa adalah untuk menyiapkan landasan yang lebih pendek – 2,200 meter menjelang Julai untuk memenuhi tarikh akhir Ogos, menurut Encik Danis Hidayat Sumadilaga, yang mengetuai pasukan petugas pembangunan infrastruktur IKN.

Lapangan terbang yang siap akan mempunyai kapasiti untuk menampung tiga pesawat komersial besar, satu pesawat kecil dan tiga helikopter. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg