Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Indonesia guna data terbuka bagi pantau jerebu rentasi sempadan

Berdasarkan kaedah data, tiada jerebu dikesan rentasi sempadan negara jiran: Ketua Pengarah Kawalan Perubahan Iklim
Oct 09, 2023 | 12:28 PM



JAKARTA: Pemerintah Indonesia menggunakan data terbuka secara konsisten untuk menjawab kebimbangan mengenai pencemaran jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia, kata Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK).


“Kami memantau (jerebu) dengan menggunakan data daripada Pusat Meteorologi Khusus Asean (ASMC) di Singapura dan imejan satelit Himawari yang dikendalikan oleh Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG),” kata Cik Laksmi Dhewanthi, Ketua Pengarah Kawalan Perubahan Iklim, di Jakarta.

Beliau membuat kenyataan itu pada sidang media mengenai pengendalian kebakaran hutan dan tanah gambut di Taman Arboretum Kementerian KLHK.

Dengan menggunakan data daripada dua institusi itu, KLHK telah dapat mengesahkan fakta mengenai isu pencemaran jerebu berasal dari Indonesia yang merebak ke negara jiran, kata Cik Dhewanthi.

“Kami bertindak balas terhadap isu berdasarkan data kerana semua yang kami lakukan sentiasa berdasarkan sains dan data. Dengan berbuat demikian, kami dapat mengesannya dengan mudah (jerebu) dan menjelaskan isu itu,” jelasnya.

Menurut data ASMC dan BMKG, setakat Sabtu, tiada jerebu dikesan merentasi sempadan negara jiran walaupun beberapa wilayah Indonesia sedang merekodkan kebakaran hutan dan tanah gambut, ujarnya.

Tambahan pula, data yang digunakan oleh KLHK adalah terbuka dan boleh diakses dengan mudah, sekali gus membolehkan semua pihak mengesahkan sama ada jerebu merentasi sempadan antarabangsa atau tidak, tegas Cik Dhewanti.

Bercakap mengenai tawaran pemerintah Malaysia untuk membantu Indonesia mengendalikan kebakaran, beliau berkata kedua-dua negara adalah anggota Asean, jadi mereka boleh merujuk kepada Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan.

Berdasarkan perjanjian itu, negara-negara Asean boleh bekerjasama untuk menangani jerebu rentas sempadan, termasuk menjalankan usaha pemantauan, penilaian dan pencegahan, serta melaksanakan langkah-langkah tindak balas kecemasan di peringkat nasional dan serantau, jelasnya.

Semua negara Asean, katanya, sepatutnya merujuk kepada sumber data yang sama dan melaksanakan kerjasama berdasarkan mekanisme yang telah dipersetujui.

Bagaimanapun, perjanjian itu menyatakan Pusat Penyelaras Asean bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan “akan bekerja atas dasar bahawa pihak berkuasa negara akan bertindak terlebih dahulu untuk memadamkan kebakaran”. Apabila pihak berkuasa negara mengisytiharkan situasi kecemasan, ia mungkin membuat permintaan untuk mendapatkan bantuan menerusi pusat tersebut.

Tujuh wilayah di Indonesia pada masa ini telah mengisytiharkan status respons kecemasan untuk kebakaran hutan dan tanah: Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, Kalimantan Selatan dan Nusa Tenggara Timur.

Pada Ahad, Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, memberi peringatan bahawa asap daripada kebakaran hutan dan tanah di negara itu berpotensi untuk tersebar secara meluas.

Beliau turut memerintahkan supaya pegawai tertinggi tentera dan polis serta pemerintah daerah mengambil tindakan serius dengan segera untuk mengatasi masalah itu.

“Memang setiap kebakaran menghasilkan asap yang boleh tersebar secara meluas jika dibawa angin,” kata Encik Joko Widodo, yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi.

“Setiap titik kebakaran, tidak kira betapa kecilnya, mesti dikawal untuk mengelakkannya daripada merebak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Badan Mitigasi Bencana (BPBD) Kota Banjarmasin merekodkan 33 titik panas – tanda kebakaran hutan telah dikesan sejak 26 Jun hingga 3 Oktober lalu, menurut ketua agensi itu, Encik Husni Thamrin.

Titik panas itu memusnahkan kira-kira 5.3 hektar tanah tetapi disebabkan skala kebakaran yang kecil dan akses mudah ke jalan raya, usaha untuk memadamkannya boleh dilakukan, katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Alam Sekitar dan Perhutanan di Kementerian KLHK, Encik Rasio Ridho Sani, mendedahkan bahawa kementerian telah menutup 35 tanah hangus – 11 di Kalimantan Barat, 10 di Kalimantan Tengah dan 14 di Sumatera Selatan. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >