Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia jalan ujian klinikal perangi penyakit batuk kering
Indonesia jalan ujian klinikal perangi penyakit batuk kering
Indonesia jalan ujian klinikal perangi penyakit batuk kering
JAKARTA: Indonesia merancang menjalankan ujian klinikal beberapa vaksin untuk memerangi kes batuk kering atau tuberkulosis yang meningkat pada 2024.
Ini menyusuli kebimbangan penyakit itu mungkin menjejas pertumbuhan ekonomi, kata Menteri Kesihatan, Encik Budi Gunadi Sadikin, pada 10 Jun.
Negara itu menyaksikan kes batuk kering meningkat sejak beberapa tahun lalu, dengan kementerian kesihatan menganggarkan terdapat lebih sejuta kes pada 2023, berbanding sekitar 820,000 pada 2020.
Pada 2022, kematian akibat penyakit batuk kering di Indonesia mencecah sekitar 134,000 orang – yang kedua tertinggi di dunia selepas India.
Tiga perempat daripada pesakit berada dalam kumpulan umur produktif dan 45 peratus daripada semua pesakit tidak bekerja, menimbulkan kebimbangan bahawa penularan penyakit itu menjejas kegiatan ekonomi, kata Menteri Pembangunan Manusia, Encik Muhadjir Effendy, pada mesyuarat dengan sekumpulan pemimpin wilayah.
Menteri itu tidak memberi anggaran kesan kepada pertumbuhan ekonomi.
Menurut Encik Budi, Indonesia merancang menjalankan percubaan vaksin batuk kering yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal sejagat, GlaxoSmithKline pada Julai, melibatkan 2,500 orang.
Pembangunan vaksin itu dibiayai oleh Yayasan Bill dan Melinda Gates.
Percubaan klinikal untuk vaksin yang dihasilkan oleh CanSino Biologics China juga dijangka dijalankan pada 2024, ujar Encik Budi.
“Kami berharap menjadi salah satu negara pertama di dunia yang melakukan vaksinasi batuk kering,” tambah beliau.
“Kami juga dalam peringkat menjalankan ujian klinikal vaksin mRNA yang sedang dibangunkan oleh BioNTech, yang mengasaskan vaksin Covid-19 untuk Pfizer,” kata Encik Budi.
Indonesia menyasarkan untuk menurunkan kadar kematian penyakit batuk kering sebanyak 80 peratus kepada hanya enam kematian bagi setiap 100,000 nyawa menjelang 2030, ujar beliau.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini menyatakan bahawa penyakit batuk kering adalah salah satu masalah kesihatan utama di seluruh dunia. Ia juga merupakan penyakit berjangkit yang muncul semula.
Ia menganggarkan sejumlah 9.9 juta kes batuk kering di seluruh dunia dengan jumlah kematian mencecah 1.5 juta pada 2020. – Agensi berita.
