Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia keluar aturan cegah keganasan di pondok pesantren

Feb 11, 2025 | 1:24 PM
Kementerian Agama Indonesia telah mengeluarkan peraturan bagi mencegah keganasan di pondok-pondok pesantren.
Kementerian Agama Indonesia telah mengeluarkan peraturan bagi mencegah keganasan di pondok-pondok pesantren. - Foto fail

JAKARTA: Kementerian Agama (Kemenag) telah mengeluarkan Pelan Hala Tuju Program Pembangunan Pondok Pesantren Mesra Kanak-Kanak untuk mencegah tindakan keganasan di pondok pesantren (asrama untuk belajar membaca Al-Quran), kata Pengarah Pondok Pesantren Kemenag, Encik Basnang Said.

Pelan yang terkandung dalam surat yang ditandatangani oleh Menteri Agama, Encik Nasaruddin Umar, pada 30 Januari.

“Pelan ini dimaksudkan untuk menjadi pedoman bagi pengasuh dan pendiri pondok pesantren, pimpinan pondok pesantren, tenaga pendidik, dan Kementerian Agama dalam rangka melahirkan pesantren yang ramah pelajar dengan menyediakan perlindungan dan memenuhi hak mereka,’’ tambah Encik Basnang, dalam kenyataan bertulis pada 10 Februari.

Menurutnya, peraturan tersebut mengatur kepentingan mengembangkan kecekapan asatizah di pesantren.

Kecekapan itu merangkumi aspek personaliti, sosial, pedagogi dan profesional.

Beliau berkata, golongan asatizah juga perlu mempunyai kebolehan untuk merealisasikan matlamat Pondok Pesantren Mesra Kanak-Kanak itu.

Encik Basnang turut menggariskan beberapa indikator perkembangan asatizah yang ideal untuk merealisasikan pelan tersebut.

Antaranya, mereka harus mampu menjadi suri teladan dalam melaksanakan nilai-nilai Islam berdasarkan Al-Quran, hadis dan ajaran ulama.

Beliau berkata, tingkah laku yang boleh dicontohi merupakan asas utama bagi pembentukan pelajar.

Aturan lain termasuk mempunyai komitmen dan cinta yang kuat terhadap dunia pendidikan dan ilmu agama, bertanggungjawab memberikan perlindungan fizikal dan emosi kepada pelajar, serta mewujudkan persekitaran selamat dan selesa di pondok pesantren.

Encik Basnang menggariskan pelan yang memainkan peranan penting dalam membangunkan mutu kecerdasan rohani, emosi, dan intelek pelajar, tanpa membezakan latar belakang atau kebolehan mereka.

Beliau menekankan bahawa pendidik hendaklah menghormati pendapat, kreativiti, dan aspirasi setiap pelajar dengan sikap terbuka.

Sikap itu dapat mewujudkan ruang yang sihat untuk berdialog serta membantu membina keyakinan diri pelajar.

Selain itu, pendidik juga perlu membantu pelajar menghadapi cabaran peribadi, akademik dan sosial dengan menyediakan sokongan emosi yang diperlukan.

Pendekatan itu memastikan pelajar tidak berasa terpinggir dan lebih bersedia untuk mengatasi tekanan yang dihadapi.

Encik Basnang turut menekankan pentingnya kebolehan pendidik dalam mengurus konflik dan menyelesaikan masalah melalui kaunseling dan perantaraan.

Ia dapat membantu pelajar mengetahui cara menangani cabaran dengan lebih membina dan berkesan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg