Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Indonesia kian jadi 'tarikan' pelarian Rohingya

Mar 15, 2022 | 05:30 AM



INDONESIA kelihatan berdepan dengan isu pelarian Rohingya apabila lebih ramai pelarian masyarakat Muslim Myanmar itu mendarat di pantainya untuk mendapatkan perlindungan.



Satu bot membawa lebih 100 pelarian Rohingya, termasuk puluhan kanak-kanak, mendarat di pantai Aceh baru-baru ini.



Kapal itu, yang belayar dari kem Rohingya di Bangladesh, tiba kira-kira 3 pagi di pantai di daerah Bireun.



Ia membawa 114 orang, termasuk 58 lelaki, 21 wanita dan 35 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun.



Polis mendapat tahu mengenai ketibaan itu selepas beberapa nelayan setempat melaporkan ada bot yang dipenuhi orang Rohingya telah mendarat di pantai.



Bot itu kelihatan dalam keadaan baik dengan pelarian mempunyai makanan dan bekalan mencukupi sepanjang perjalanan.



"Kami akan jalankan pemeriksaan kesihatan am dan ujian antigen pantas Covid-19 bagi warga asing ini," kata ketua polis setempat, Encik Mike Hardy Wirapraja.



Beliau berkata mereka kemudiannya dipindahkan ke daerah Lhokseumawe yang mempunyai pusat perlindungan buat pelarian.



Pihak berkuasa tidak pasti berapa lama pelarian itu berada di laut, namun ada yang memerlukan bantuan perubatan apabila mereka mendarat di Aceh, kata Cik Nurul Yana Daba, sukarelawan pertubuhan bukan pemerintah, Aksi Cepat Tanggap.



Seorang pelarian wanita mengalami bengkak pada lengan dan kakinya dan tidak dapat berdiri atau berjalan, manakala seorang lelaki, mungkin kerana mereka telah berada di laut terlalu lama, agak kekurangan zat makanan, kata Cik Nurul.



Encik Mukhtar, seorang penduduk setempat, berkata pelarian Rohingya masuk ke kampungnya untuk mendapatkan bantuan.



"Mereka meminta perlindungan. Kami serahkan kepada pemerintah. Kami menerima mereka kerana ia perbuatan yang berperikemanusiaan," katanya.



Seorang pelarian, Omar Faruk, 11 tahun, berkata kumpulannya telah berada di laut kira-kira 25 hari.



"Kami berasal dari Myanmar tetapi kami larikan diri ke Bangladesh dan kami mulakan perjalanan kami dari Bangladesh.



"Kami tinggalkan Bangladesh kerana situasi Rohingya di kem tidak begitu baik, ia menjadi sangat teruk pada masa ini," katanya dalam bahasa Inggeris.



Faruk berkata dia meninggalkan ibunya di Bangladesh dan mengikut bapa saudaranya untuk memulakan hidup baru, sebaik-baiknya di negara majoriti Islam seperti Indonesia atau Malaysia.



"Kami tinggalkan Bangladesh ke negara ini untuk cuba mencipta masa depan yang lebih indah... Saya tidak mempunyai bapa, hanya seorang bapa saudara dan ibu saya masih di Bangladesh.



"Saya datang ke sini kerana saya ingin tingkatkan pendidikan saya," tambahnya.



Ini merupakan ketibaan kedua kumpulan Rohingya yang teraniaya di Myanmar ke Indonesia dalam beberapa bulan lalu.



Lebih 100 orang Rohingya tiba di Bireun pada akhir Disember lalu selepas hanyut sekian lama di laut sebelum pemerintah Indonesia akhirnya membenarkan mereka mendarat.



Dianggarkan hampir sejuta Muslim Rohingya telah meninggalkan Myanmar sejak 2017 selepas tindakan ganas tentera negara itu termasuk tindakan pembunuhan dan rogol secara besar-besaran.



Kebanyakan mereka tinggal di kem sempit di Bangladesh, di mana penyeludup manusia menjalankan operasi menguntungkan dengan menjanjikan mereka tempat perlindungan di luar negara.



Penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kempen ketenteraan itu telah dilaksanakan dengan "niat penghapusan bangsa".



Setiap tahun, ratusan orang Rohingya melakukan perjalanan bahaya selama berbulan-bulan dari kem pelarian di Bangladesh ke negara Asia Tenggara.



Malaysia biasanya merupakan destinasi yang digemari, tetapi ada juga yang mendarat di Indonesia.



Indonesia bukan penandatangan Konvensyen (PBB) 1951 mengenai Pelarian dan selalunya dilihat sebagai negara transit bagi mereka yang mencari suaka ke negara ketiga. - Agensi berita.




"Kami berasal dari Myanmar tetapi kami larikan diri ke Bangladesh dan kami mulakan perjalanan kami dari Bangladesh.
Kami tinggalkan Bangladesh kerana situasi Rohingya di kem tidak begitu baik, ia menjadi sangat teruk pada masa ini...
Kami tinggalkan Bangladesh ke negara ini untuk cuba mencipta masa depan yang lebih indah...
Saya tidak mempunyai bapa, hanya seorang bapa saudara dan ibu saya masih di Bangladesh.
Saya datang ke sini kerana saya ingin tingkatkan pendidikan saya."
- Seorang pelarian, Omar Faruk, 11 tahun, katanya dalam bahasa Inggeris.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >