Indonesia lanjut sekatan pergerakan awam dua minggu lagi
Indonesia lanjut sekatan pergerakan awam dua minggu lagi
Di zon merah - maksimum 25% pekerja dibenar di pejabat manakala selebihnya perlu bekerja dari rumah; semua sekolah dan tempat ibadah ditutup
JAKARTA: Indonesia memutuskan untuk melanjutkan sekatan aktiviti awam skala mikro (PPKM) selama dua minggu lagi bermula semalam untuk mencegah penularan Covid-19.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, dalam satu kenyataan berkata maksimum 25 peratus pekerja dibenarkan berada di pejabat di zon merah sementara selebihnya perlu bekerja dari rumah.
Risiko penularan Covid-19 di seluruh Indonesia dikategorikan dengan warna - merah, oren, kuning dan hijau - merah untuk zon berisiko paling tinggi manakala zon hijau bebas kes baru.
Di daerah pinggir bandar yang dikategorikan sebagai zon merah, pemerintah telah menetapkan pembelajaran secara dalam talian berikutan semua sekolah dan tempat ibadah ditutup.
Sementara itu, pusat beli-belah dan restoran akan ditutup pada 9 malam dan terhad kepada 50 peratus pengunjung sahaja dengan pematuhan ketat protokol kesihatan.
Indonesia menambah 8,189 kes baru Covid-19 pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,919,547 sejak pandemik dikesan pada Mac 2020, menurut data di laman Twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia.
Jumlah pesakit yang telah pulih meningkat 6,143 dengan keseluruhan 1,751,234, sementara angka korban meningkat sebanyak 237 menjadi 53,116.
Kekhuatiran mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di Indonesia mungkin terwujud setelah Hari Raya Aidilfitri kerana pemerintah menganggarkan akan ada peningkatan kes sebanyak 50 peratus pada pertengahan Jun.
"Pada masa ini, terdapat kecenderungan peningkatan kes Covid-19 yang aktif yang harus dipantau selepas Lebaran," kata Encik Airlangga.
Kes aktif harian yang disahkan mula menunjukkan trend yang meningkat dalam beberapa hari terakhir di Indonesia.
"Jumlah kes aktif di peringkat nasional adalah 5.4 peratus lebih rendah dari angka global 8.8 peratus. Namun, kita perlu menjangkakan trend peningkatan kes aktif sejak minggu lalu," kata beliau lagi.
Cuti panjang sebelumnya telah menyaksikan peningkatan kes berlaku dalam empat hingga lima minggu setelah cuti, kata Encik Airlangga seperti yang ditukil oleh agensi berita Antara.
Encik Airlangga berkata ini berdasarkan data hingga 26 Mei dengan 55.6 peratus kes aktif ditemui di Jawa dan 22.9 peratus di Sumatera.
Sebelum ini pemerintah memutuskan untuk memperluas sekatan kecil pada kegiatan masyarakat dari 1 Jun hingga 14 Jun dan memperluaskannya ke empat wilayah - Maluku, Maluku Utara, Gorontalo dan Sulawesi Barat.
Encik Airlangga berkata setelah melakukan pemantauan selama dua minggu setelah perayaan Aidilfitri, pemerintah akan terus memantau perkembangan kes dalam dua hingga tiga minggu lagi dan memperketat syarat perjalanan.
Indonesia menjangkakan gelombang baru jangkitan Covid-19 memuncak pada awal Julai, berikutan varian Delta yang mudah menular kini dominan di beberapa kawasan, lapor agensi berita Reuters.
Varian Delta itu dilaporkan lebih dominan di wilayah seperti Jakarta dan beberapa bahagian lain di Pulau Jawa, kata Menteri Kesihatan Budi Gunadi Sadikin dalam sidang media pada Isnin lalu.
Sekurang-kurangnya 60 kes varian itu dikesan di Kudus, Jawa Tengah, dan hospital-hospital di situ sudah lebih 90 peratus penuh, menurut jurucakap Jawatankuasa Bertindak Covid-19 Indonesia, Profesor Wiku Adisasmito.
Indonesia secara rasmi mencatatkan lebih 1.9 juta kes jangkitan koronavirus dengan 53,116 kematian, walaupun ada kajian menunjukkan itu bukan skala sebenar kes di Republik berkenaan. - Agensi berita.

