JAKARTA: Indonesia melaporkan 1,054 kes baru Covid-19 pada Sabtu (15 Jan), kenaikan harian tertinggi dalam tempoh tiga bulan, sedang pemerintah bersiap sedia menghadapi gelombang baru jangkitan koronavirus yang didorong penularan varian Omicron.
Negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu sebelum ini bergelut dengan gelombang kedua jangkitan yang dahsyat pada Julai lalu, didorong oleh penyebaran varian Delta.
Bilangan kes harian merosot kepada sekitar 200 menjelang Disember, sebelum meningkat pada bulan ini di tengah-tengah laporan penularan tempatan bagi varian Omicron.
"Jangkitan tempatan telah ditemui dan Jakarta telah menjadi kelompok jangkitan," kata Menteri Kesihatan, Encik Budi Gunadi Sadikin, dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.
"Kita perlu menyelaras dengan pemerintah wilayah untuk mengukuhkan protokol kesihatan, (memberi) suntikan vaksin penggalak dan mengukuhkan kemudahan kesihatan."
Beliau tidak menjelaskan sekatan yang mungkin dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan. Pegawai biasanya menyemak langkah berkaitan pandemik setiap hari Isnin.
Indonesia mengesan kes pertama Covid-19 bagi varian Omicron yang lebih mudah merebak pada 16 Disember. Bilangan kes yang disahkan telah mencecah lebih 500 sejak itu dan pegawai berkata kadar jangkitan mungkin memuncak pada Februari.
Negara itu memulakan program penggalak vaksinnya untuk orang ramai minggu ini. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg