JAKARTA: Parlimen Indonesia, pada Selasa, telah meluluskan undang-undang dekri darurat bagi pekerjaan dan pelaburan, bagi menghapuskan ketidakpastian undang-undang yang menangguhkan langkah Presiden Joko Widodo untuk merangsang pelaburan dalam negara ekonomi terbesar Asia Tenggara itu.
Undang-undang baru itu menggantikan undang-undang Penciptaan Pekerjaan 2020 yang disenangi oleh para pelabur asing kerana dapat menyelaraskan peraturan perniagaan di negara yang amat ketat dengan birokrasinya.
Tetapi undang-undang baru ini juga dikritik oleh kesatuan sekerja dan kumpulan alam sekitar kerana terlalu properniagaan.
Pada 2021, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kelulusan undang-undang itu cacat kerana tidak cukup merundingkannya, dan mengarahkan parlimen membahaskannya semula dalam masa dua tahun.
Kelulusan pada Selasa itu bermakna sebahagian besar perubahannya akan dikekalkan dan beberapa perubahan kecil dibuat bagi peraturan pekerja.
Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia, Cik Shinta Kamdani, berkata kelulusan undang-undang itu memberi kejelasan yang penting kepada para pelabur sedia ada dan yang berpotensi.
"Walaupun ada beberapa perkara yang ditimbulkan berkaitan pengambilan pekerja, kelulusan ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan jaminan undang-undang yang jelas bagi skim tertentu dan memudahkan peraturan pelaburan," kata Cik Kamdani.
Parti Pekerja, yang sekarang ini tidak memiliki sebarang kerusi di Parlimen tetapi merancang untuk bertanding dalam pilihan raya umum 2024 nanti, membantah kelulusan undang-undang tersebut dengan sekitar 300 orang anggotanya mengadakan perhimpunan bantahan dekat pejabat kementerian tenaga kerja.
Parti itu akan mencabar undang-undang tersebut ke Mahkamah Konstitusi tidak lama lagi, kata pengerusi parti itu, Encik Said Iqbal, dalam satu sidang akhbar.
Beliau juga menyeru para pekerja Indonesia supaya melancarkan mogok selepas perayaan Aidilfitri pada April secara besar-besaran seperti yang berlaku di Perancis, membantah perubahan kepada sistem persaraan.
"Kami akan menghentikan pengeluaran, akan membuat persiapan untuk melancarkan mogok selama lima hari seperti yang berlaku di Perancis," katanya. - Reuters.
"Walaupun ada beberapa perkara yang ditimbulkan berkaitan pengambilan pekerja, kelulusan ini sekurang-kurangnya dapat menyediakan jaminan undang-undang yang jelas bagi skim tertentu dan memudahkan peraturan pelaburan." - Cik Shinta Kamdani, Timbalan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Indonesia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg