JAKARTA: Indonesia mahu menghentikan amalan mengeksport hasil buminya, termasuk minyak sawit mentah (CPO), melalui negara jiran dan sebaliknya menjual terus kepada pembeli di pasaran antarabangsa bagi mengelakkan kerugian berbilion rupiah.

Langkah itu bertujuan memastikan Indonesia memperoleh pulangan lebih tinggi daripada sumber aslinya, selain mengukuhkan kawalan terhadap perdagangan komoditi utama seperti minyak sawit, nikel dan timah.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Makanan Indonesia, Encik Zulkifli Hasan, berkata negara itu selama ini tidak menikmati keuntungan sepenuhnya daripada hasil bumi sendiri kerana sebahagian eksportnya melalui negara jiran yang kemudian menjual semula komoditi tersebut pada harga lebih tinggi.

“Indonesia pengeluar minyak sawit mentah, nikel dan timah terbesar di dunia, tetapi eksport kita masih melalui negara jiran. Keadaan ini kadangkala membuat saya kecewa,” katanya di Batam, Kepulauan Riau, pada 4 November, seperti dipetik agensi berita Antara.

Beliau memberikan contoh perbezaan ketara harga minyak sawit mentah yang dijual Indonesia kepada negara perantara berbanding harga komoditi itu di pasaran akhir.

Menurutnya, minyak sawit mentah yang bernilai 27,000 rupiah ($1.91) dijual kepada negara jiran pada harga hanya 15,000 rupiah, menyebabkan Indonesia kehilangan potensi pendapatan sebanyak 12,000 rupiah.

“Sudah bertahun-tahun kita mengalami kerugian seperti ini. Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Kita mahu mengeksport secara langsung,” tegasnya.

Encik Zulkifli berkata isu itu bukan sekadar membabitkan perdagangan, bahkan turut mencerminkan kelemahan Indonesia mengawal rantaian bekalan dan mendapatkan manfaat sepenuhnya daripada kekayaan sumber aslinya.

Beliau menegaskan Indonesia perlu menjadi negara maju yang berdaulat dan tidak terus bergantung kepada negara lain untuk memasarkan hasil buminya.

“Setiap kali sesuatu berlaku, Indonesia yang menanggung kerugian,” katanya.

Beliau turut menyentuh beberapa isu lain, termasuk kebakaran hutan dan tanah, kekurangan bekalan bahan api di Bali serta tekanan terhadap pasaran kewangan Indonesia.

Kenyataan itu dibuat ketika hubungan Jakarta dengan Singapura berdepan ketegangan baharu berhubung bekalan gas asli dan masalah jerebu rentas sempadan.

Singapura merupakan pelabur asing terbesar Indonesia dan antara rakan dagang utamanya.

Republik ini mengimport pelbagai barangan dari Indonesia, termasuk gas asli, logam, barang kemas, produk petroleum, komponen elektronik dan makanan diproses.

Indonesia pula bergantung kepada Singapura bagi mendapatkan bekalan bahan api, mesin perindustrian dan bahan kimia khusus.

Sebelum ini, Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, turut menggesa supaya eksport sumber asli tidak lagi melalui negara perantara.

Beliau memberi amaran bahawa negara transit berpotensi mencatat komoditi Indonesia sebagai eksport mereka sendiri, sekali gus meraih manfaat daripada hasil cukai dan perdagangan.

“Tidak boleh lagi sumber asli kita dalam sektor tenaga dan mineral dihantar dengan cara seperti ini.

“Jika kita menghantar barangan ke China, ia mesti dihantar terus dari Jakarta ke China, bukan singgah di negara tertentu,” katanya pada 3 November.

Majlis Tenaga Nasional Indonesia (DEN) turut menyokong cadangan itu.

Anggotanya, Encik Satya Widya Yudha, berkata eksport langsung dapat mengurangkan keuntungan yang dinikmati pihak perantara, meningkatkan ketelusan urus niaga dan mengukuhkan kuasa tawar-menawar Indonesia dengan pembeli akhir.

Bagaimanapun, DEN belum dapat menentukan jumlah tambahan hasil negara yang boleh diperoleh kerana penilaian ekonomi lanjut masih diperlukan.

Dalam pada itu, Encik Zulkifli turut menekankan pentingnya meningkatkan pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan Indonesia kepada import beras, gandum, gula, kacang soya dan garam.

Beliau menggesa produktiviti petani, penternak dan nelayan dipertingkat melalui penggunaan teknologi, mekanisasi dan pengurusan pengeluaran yang lebih cekap.

“Sesebuah negara tidak boleh maju jika rakyatnya terus bergantung kepada bantuan dan pemberian wang tunai.

“Kita mesti melatih mereka dan menyediakan peluang supaya mereka mampu menjadi lebih produktif,” katanya. – Agensi berita.