JAKARTA: Penyiasat Indonesia telah berjaya memuat turun maklumat daripada perakam data penerbangan (FDR) jet Sriwijaya Air yang terhempas ke laut minggu lalu, kata agensi keselamatan pengangkutannya semalam.
Perakam itu "mempunyai 330 parameter dan semuanya dalam kondisi baik," kata Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) dalam satu kenyataan.
Parameter merujuk kepada data yang dirakam daripada pelbagai sistem pesawat termasuk jalur penerbangan, kelajuan, kuasa mesin dan konfigurasi kelepak.
Penerbangan SJ 182 terhempas ke Laut Jawa beberapa minit setelah berlepas dari Jakarta dengan membawa 62 orang pada 9 Januari lalu.
Agensi keselamatan itu berkata data penerbangan mengesahkan bahawa kedua-dua enjin pesawat beroperasi ketika pesawat terhempas ke laut, seperti yang dinyatakannya sebelum ini berdasarkan bangkai kapal.
Pencarian satu lagi "kotak hitam" pesawat itu, perakam suara kokpit, diteruskan semalam.
KNKT merancang untuk mengeluarkan laporan awal dalam 30 hari dari kemalangan itu, sejajar dengan piawaian antarabangsa, kata ketua agensi itu kepada Reuters kelmarin.
Nahas Sriwijaya itu merupakan kemalangan penerbangan terbesar di Indonesia sejak Oktober 2018, apabila seramai 189 orang dalam kapal terbang Lion Air Boeing 737 Max maut setelah pesawat itu terhempas ke Laut Jawa sejurus selepas berlepas. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg