Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia percepat usaha dapatkan vaksin, vaksinasi

Seluruh jentera dikerah cegah Covid-19, tingkat bekalan oksigen di serata negara lepas kes baru lebihi 20,000 sehari
Jul 7, 2021 | 5:30 AM
TEMPAHAN KERANDA MENINGKAT: Pembuat keranda di Jakarta sibuk berusaha memenuhi tempahan di tengah-tengah lonjakan kematian akibat jangkitan Covid-19 di Indonesia. - Foto REUTERS
TEMPAHAN KERANDA MENINGKAT: Pembuat keranda di Jakarta sibuk berusaha memenuhi tempahan di tengah-tengah lonjakan kematian akibat jangkitan Covid-19 di Indonesia. - Foto REUTERS -

JAKARTA: Pemerintah Indonesia sedang mempercepat perjanjian bagi pemerolehan vaksin Covid-19 dan program inokulasi kebangsaan dalam usaha membendung penularan kes Covid-19 di sini.

Selepas seminggu menyaksikan lonjakan kes melebihi paras 20,000 sehari, pemerintah telah melaksana perintah sekatan, dikenali sebagai Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat, dari Sabtu lalu hingga 20 Julai.

Isnin lalu, Indonesia menyaksikan 29,745 kes jangkitan baru dan 558 kematian Covid-19 - berbanding 27,233 kes baru dan 555 kematian pada Ahad lalu.

Kebanyakan hospital di Pulau Jawa menyaksikan limpahan pesakit dan kekurangan bekalan oksigen.

Dalam pada itu, bandar raya Jakarta kelihatan lengang disebabkan PPKM Darurat.

Pengumuman darurat di seluruh pulau Jawa dan Bali dibuat Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, menyusuli penularan varian Delta Covid-19, yang menyaksikan peningkatan ketara kes di republik itu.

Pemerintah Indonesia kini menggunakan seluruh jentera yang ada untuk mencegah penularan Covid-19, selain meningkatkan bekalan oksigen bagi tujuan perubatan di serata negara.

Bermula Sabtu lalu, semua pekerja dalam sektor perkhidmatan bukan penting mula bekerja dari rumah manakala pusat beli-belah, rumah ibadat dan taman awam ditutup dan menjual makanan serta minuman makan dalam premis dilarang.

Perjalanan udara dan kereta api hanya dibenarkan bagi penumpang yang mempunyai sijil status Covid-19, sudah lengkap divaksin dan negatif ujian saringan.

Polis mengadakan lebih banyak sekatan jalan raya di sekitar bandar raya Jakarta, kawasan paling teruk terjejas dengan lebih 40 zon merah, bagi mengurangkan pergerakan penduduk di situ.

Jurucakap polis Jakarta mengadakan sekatan jalan raya di seluruh bandar raya itu dan tidak menggalak orang ramai keluar jika tiada perkara penting.

Pelaksanaan perintah darurat itu meliputi 122 wilayah dan kota di seluruh Jawa, merangkumi 60 peratus daripada 270 juta penduduk Indonesia.

Ia juga membabitkan pulau Bali, sebuah destinasi percutian popular dengan kepadatan empat juta penduduk.

Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Gunadi Sadikin, pula menjangka kes Covid-19 terus meningkat dalam tempoh lima hingga tujuh minggu selepas sambutan Aidiladha pada 20 Julai ini.

"Kita akan terus berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya kerana varian Delta Covid-19 lebih mudah menular.

"Kita melaksana perintah PPKM di Pulau Jawa dan Bali kerana di wilayah lain kes masih terkawal," katanya.

Encik Gunadi menambah bahawa Indonesia akan terus meningkatkan keupayaan program vaksinasi dengan sasaran melakukan suntikan ke atas 181.5 juta orang, atau 100 peratus penduduk berusia 18 tahun ke atas, menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata pihaknya juga sudah mengeluarkan kelulusan darurat untuk penggunaan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech bagi golongan muda berusia 12 hingga 17 tahun dan vaksin Sinovac China untuk mereka yang berusia antara tiga hingga 17 tahun.

Encik Gunadi berkata Sinovac adalah satu-satunya pengeluar vaksin yang mengekalkan komitmennya untuk memberi 150 juta dos, manakala yang lain, seperti AstraZeneca, hanya dapat menghantar 30 juta dos.

"(AstraZeneca) gagal memenuhi komitmennya untuk memberikan 50 juta dos pada akhir tahun ini kerana masalah yang mereka hadapi.

"Kami mengharapkan lebih banyak penghantaran daripada pengeluar vaksin dan sumbangan dari negara lain, termasuk pengiriman pertama sebanyak 50 juta dos Pfizer pada awal bulan depan.

"Ini adalah tambahan kepada empat juta dos vaksin Moderna dari Amerika Syarikat, tiga juta dari Belanda dan jumlah yang tidak ditentukan dari UK (United Kingdom)," katanya.

Hampir satu juta dos AstraZeneca tiba dari Jepun, sebagai sumbangan, pada 1 Julai lalu. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg