JAKARTA: Sedang adanya risiko gelombang ketiga Covid-19 menjelang perayaan akhir tahun, pemerintah Indonesia bersiap sedia mengambil langkah lebih tegas untuk mencegah lonjakan kes yang didorong oleh kegiatan percutian.
Antara langkah diambil adalah mengenakan tahap kedua paling ketat daripada empat peringkat pelaksanaan sekatan aktiviti awam (PPKM) di semua wilayah.
Menteri Penyelaras bagi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Muhadjir Effendy, yang mengumumkan rancangan itu Rabu lalu, berkata pelaksanaan sekatan tahap 3 di seluruh negara akan membantu mengawal pergerakan orang ramai dengan lebih baik.
Butiran itu akan diterbitkan minggu depan dalam bentuk arahan Kementerian Dalam Negeri, yang akan berkuat kuasa mulai 24 Disember ini hingga 2 Januari 2022.
"(Setiap wilayah) akan mengikut peraturan sama. (Pemerintah) telah mencapai persetujuan peraturan ini (PPKM tahap 3) akan dilaksanakan di dalam dan di luar Jawa dan Bali," kata Encik Muhadjir dalam satu kenyataan akhbar, lapor The Jakarta Post.
Di bawah peraturan yang dirancang itu, kegiatan berkaitan perayaan Tahun Baru, seperti bunga api, perarakan dan acara yang akan menarik orang ramai, akan dilarang sama sekali, kata beliau.
Kegiatan keagamaan, termasuk khidmat Krismas, menurut Encik Muhadjir, juga akan kembali di bawah sekatan tahap 3, yang membolehkan tempat ibadat beroperasi pada separuh kapasiti.
Sekatan tahap 3 juga memerlukan pusat beli-belah, hotel, restoran dan pasar raya dibuka pada separuh kapasiti, manakala taman dan kemudahan awam, serta tempat lain yang menarik orang ramai, diarah tutup.
Tidak jelas sama ada peraturan berkaitan perjalanan domestik sempena cuti akhir tahun akan berubah atau tidak.
Pada masa ini, penumpang syarikat penerbangan yang telah divaksin sepenuhnya menuju atau dari Jawa dan Bali dikehendaki mengemukakan keputusan ujian antigen negatif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg