JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia berkata bilangan kawasan dengan kebakaran hutan boleh berlaku telah meningkat dua kali ganda sejak seminggu lalu disebabkan cuaca kering – meningkatkan kebimbangan mengenai kebakaran hutan yang berleluasa.
Kejadian itu boleh berlaku walau negara itu belum mencapai puncak musim kemaraunya.
Jumlah titik panas yang direkodkan antara 17 Julai dengan 23 Julai melonjak kepada 12,701 daripada 6,082 seminggu sebelumnya, menurut data Agensi Kebangsaan Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).
Kebanyakan peningkatan kawasan panas dikesan di Kalimantan di Borneo, dan di Jawa dan Papua, kata jurucakap BNPB, Encik Abdul Muhari.
“Walaupun tidak semua titik panas akan bertukar menjadi titik kebakaran, kita masih perlu berwaspada kerana peningkatan ketara yang kita lihat,” katanya dalam satu taklimat maya.
Beliau menekankan bahawa Indonesia belum mencapai puncak musim kemarau, dijangka antara Ogos dengan awal September.
Agensi cuaca Indonesia berkata negara itu dijangka menyaksikan musim kemarau paling teruk pada 2023, sejak 2019, sebahagiannya disebabkan oleh kembalinya corak cuaca El Nino.
Encik Muhari memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membiarkan api tanpa pengawasan dan melaporkan sebarang penurunan ketara dalam paras air di kawasan tanah gambut.
Beliau juga berkata pihak berkuasa sedang menjalankan rondaan udara di enam wilayah yang menjadi perhatian.
Negara Asia Tenggara itu mengalami kebakaran hutan yang dahsyat pada 2015 dan 2019 yang menyelubungi sebilangan negara dan bahagian rantau Asia Tenggara dengan jerebu.
Kebakaran 2019 telah menyebabkan kerugian ekonomi kira-kira AS$5.2 bilion ($7 bilion) di lapan wilayah Indonesia, menurut Bank Dunia. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg