JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto berhasrat membangunkan sebuah kampung khas untuk jemaah haji dan umrah Indonesia di Arab Saudi bagi menyelaraskan semua kegiatan ibadah mereka.
Hasrat itu disampaikan Ketua Badan Pengelola Haji, Encik Mochamad Irfan Yusuf, yang baru dilantik bersama empat ketua agensi khas lain dalam majlis pelantikan di Istana Negara, Jakarta, pada 22 Oktober.
Encik Irfan dalam kenyataan media di Istana Presiden, memaklumkan bahawa presiden berharap Indonesia akan mempunyai sebuah kawasan khusus di Arab Saudi yang dapat menempatkan semua jemaah haji dan umrah dari Indonesia.
“Semua aktiviti jemaah haji dan umrah Indonesia boleh diselaraskan di satu lokasi,” jelasnya, memetik laporan agensi berita Antara.
Menurut Encik Irfan, pembentukan badan itu adalah bagi memenuhi hasrat dan visi Encik Prabowo dalam memperkukuh pengurusan haji dan umrah, terutama dalam memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah.
Beliau menegaskan bahawa usaha memastikan perjalanan jemaah yang selamat akan dijalankan berdasarkan penilaian dari musim haji dan umrah yang lalu.
Ini akan dijadikan rujukan utama dalam menambah baik setiap aspek pengurusan perjalanan jemaah, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan.
Badan itu dijangka memberi tumpuan kepada usaha menguruskan perjalanan haji dan umrah dengan lebih tersusun serta menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk jemaah di tanah suci.
Buat masa ini, Badan Pengelola Haji masih berkoordinasi dengan Ketua Direktorat Penyelenggaraan Haji dan Umrah di bawah Kementerian Agama, khususnya bagi pelaksanaan Haji 2025.
Namun, Encik Irfan menjelaskan bahawa presiden berharap badan itu akan dapat beroperasi secara bebas mulai 2026.
“Pada 2025, kita masih akan bekerjasama dengan Direktorat Haji, tetapi pada 2026, badan ini akan beroperasi secara bebas,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg