Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia, Russia sepakat kerjasama dalam projek petrokimia

Jul 3, 2022 | 5:30 AM
PERTEMUAN DUA PRESIDEN: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, yang juga pengerusi Kumpulan G20, mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, di Moscow pada 30 Jun lalu dalam rangka usaha damai menamatkan konflik Russia-Ukraine yang berlangsung sejak 24 hari lalu. - Foto REUTERS
PERTEMUAN DUA PRESIDEN: Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, yang juga pengerusi Kumpulan G20, mengadakan pertemuan dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, di Moscow pada 30 Jun lalu dalam rangka usaha damai menamatkan konflik Russia-Ukraine yang berlangsung sejak 24 hari lalu. - Foto REUTERS -

JAKARTA: Indonesia dan Russia telah sepakat untuk bekerjasama menjalankan beberapa projek, meskipun Barat telah memulaukan Russia, sebagai tindak balas kerana menyerang Ukraine.

Syarikat minyak milik negara Indonesia, Pertamina, dan syarikat milik pemerintah Russia, Rosneft Oil Company, akan meneruskan projek mereka dalam membangunkan sebuah loji penapisan di wilayah Jawa Timur bagi menghasilkan minyak dan bahan mentah untuk perusahaan petrokimia, kata seorang pegawai kanan pemerintah Indonesia yang ditukil akhbar The Straits Times, yang laporannya disiarkan semalam.

"Pihak Russia telah mengadakan rundingan bagi mendapatkan pelepasan cukai. Projek masih berjalan," kata pegawai itu, yang menyelia projek tersebut dan bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan.

Dua syarikat milik Indonesia pada awalnya telah membentuk satu usahasama, PT Pertamina Rosneft Pengolahan dan Petrokimia, yang berpangkalan di Jakarta, yang akan menguruskan loji penapisan, New Grass Refinery Root (NGRR), di Tuban, Jawa Timur, dan akan menghasilkan 229,000 tong sehari bagi gas, diesel dan bahan bakar jet.

Satu fasa perancangan praprojek bernilai AS$16 bilion ($22 bilion) telah selesai dijalankan, di mana 45 peratus dimiliki Rosneft dan 55 peratus dimiliki Pertamina.

Ketua Eksekutif Pertamina Nicke Widyawati tidak membalas permintaan akhbar The Straits Times untuk mengulas.

Apabila siap kelak, projek ini akan membantu Indonesia mengurangkan kebergantungan kepada bekalan yang diimport, yang harganya terus meningkat.

Indonesia dan Russia telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1950 lagi.

Malah, Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, menjadi pemimpin Asia Tenggara pertama bertemu dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, minggu lalu.

Presiden yang mesra dengan panggilan 'Jokowi' menamatkan lawatan rasmi ke Ukraine dan Russia dengan harapan usaha berdamai disegerakan demi mengembalikan semula bekalan makanan dan baja global yang terjejas akibat konflik antara dua negara terbabit.

Misi utama Encik Jokowi, selaku Presiden Kumpulan G20 tahun ini, adalah bagi mengusahakan dialog perdamaian antara Kyiv dengan Moscow.

"Saya telah mengunjungi Ukraine dan bertemu Presiden Zelensky. Saya juga telah menemui Presiden Putin di Moscow. Meskipun situasi saat ini masih sangat sulit, namun penyelesaian damai penting untuk terus dikedepankan dan juga ruang-ruang dialog terus dibuka," tulisnya di Facebook kelmarin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg