Indonesia sasar buka semula ekon Sept

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia sasar buka semula ekon Sept

Aug 4, 2021 | 5:30 AM

Indonesia sasar buka semula ekon Sept

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
186b5e55-2270-40ae-b091-a9f092fdcb33
-

JAKARTA: Indonesia menyasar untuk membuka semula ekonomi republik itu secara berperingkat mulai September ini, ketika pemerintah mengumumkan lanjutan sekatan pergerakan sehingga minggu depan di beberapa wilayah kepulauan Asia Tenggara, kata menteri kanan.

Indonesia berdepan lonjakan eksponen bagi kes Covid-19 di hospital yang menyaksikan kematian meningkat ke tahap tinggi sejak bulan lalu didorong varian Delta yang sangat mudah merebak.

Menteri Kesihatan, Encik Budi Gunadi Sadikin, berkata gelombang jangkitan bagaimanapun sudah melepasi tempoh kemuncak apabila bilangan kes harian disahkan menurun.

Pihak berkuasa melakukan sekatan pergerakan sejak 3 Julai lalu dan pegawai pemerintah mengumumkan sekatan ketat tahap empat akan dilanjutkan di beberapa daerah di Jawa dan Bali serta beberapa bandar lain. Tidak jelas sama ada kelonggaran akan dibuat di ibu negara, Jakarta.

Presiden Indonesia, Encik Joko 'Jokowi' Widodo, dalam satu kenyataan berkata, semua pihak perlu terus berwaspada dan mengambil langkah bagi mengawal penularan kes Covid-19.

Menteri Penyelaras bagi Mengawasi Langkah Pencegahan Covid-19, Encik Luhut Pandjaitan, berkata sasaran pembukaan semula kegiatan ekonomi pada September ini bergantung pada kadar vaksinasi, peningkatan saringan, pengesanan dan rawatan.

Indonesia melancarkan program vaksinasi pada Januari lalu, tetapi sasaran gagal dicapai susulan masalah logistik, isu bekalan dan keraguan terhadap vaksin. Kurang 10 peratus populasi yang disasarkan sudah lengkap divaksin.

Encik Budi berkata, negara itu akan menerima 258 juta dos vaksin antara Ogos dengan Disember ini, dengan kemungkinan pertambahan 72 juta dos, memadai bagi mencapai sasaran sehingga 70 juta suntikan setiap bulan pada Ogos dan September.

Republik itu melaporkan sejumlah 56,757 kes dan 2,069 kematian masing-masing pada 15 dan 27 Julai lalu.

Biarpun jumlah kes harian mula menurun dengan purata 33,800 sehari minggu lalu, kadar positif tetap tinggi dan terdapat kebimbangan varian Delta masih boleh tersebar di wilayah di luar Jawa, terutama di daerah terpencil dilengkapi perkhidmatan kesihatan tidak memuaskan.

Secara keseluruhannya, negara keempat paling padat di dunia itu mencatatkan 3.46 juta kes Covid-19 dengan lebih 97,000 kematian.

Lebih memprihatinkan, kajian spesimen menunjukkan penularan varian Delta Covid-19 hampir sekata di seluruh Indonesia, menurut jurucakap vaksinasi Covid-19 Kementerian Kesihatan Indonesia, Cik Siti Nadia Tarmizi.

"Varian Delta mendominasi 86 peratus daripada urutan spesimen yang dilakukan dalam tempoh 60 hari terakhir di 24 wilayah sehingga dapat dikatakan bahawa ia menular hampir sekata di seluruh Indonesia," katanya dalam kenyataan, semalam.

Memetik laporan antaranews.com, rangkaian makmal penjujukan genom di bawah Badan Penyelidikan dan Pembangunan Kesihatan (Litbangkes) terus meneliti corak penularan varian Covid-19 di Indonesia. Dari awal tahun hingga 28 Julai lalu, Indonesia melaporkan 3,651 hasil penjujukan genom ke dalam pangkalan data global. Hasil kajian menunjukkan negara perlu berwaspada terhadap tiga daripada empat varian koronavirus, iaitu varian Alpha, Beta dan Delta.

Laporan itu memberi amaran potensi jangkitan Covid-19 di Indonesia masih sangat tinggi, katanya.

Bagi membendung penyebaran Covid-19, pemerintah sedang memperkasakan ujian saringan dan pengesanan terutama di kawasan padat penduduk.

Mekanisme penjejakan menggunakan perisian Silacak untuk memudahkan pengesanan kontak rapat pesakit. Penduduk yang mempunyai kontak rapat akan dinasihatkan melakukan kuarantin kendiri.

Pemerintah komited meningkatkan kadar pengesanan daripada sekitar 300,000 menjadi 500,000 ujian sehari.

"Kami juga mempercepatkan vaksinasi untuk meningkatkan imuniti badan. Vaksinasi juga dapat mengurangi risiko dijangkiti, menderita penyakit serius, bahkan risiko kematian," katanya. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg