JAKARTA: Data dari Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) menunjukkan 3.2 juta rakyat Indonesia berjudi dalam talian pada 2023, dengan 80 peratus pertaruhan di bawah 100,000 rupiah atau kira-kira $8.25, kebanyakannya lebih sukakan slot dalam talian untuk kemudahan mereka.
PPATK turut mendedahkan lebih 159 juta transaksi berkaitan judi dalam talian sepanjang 2023 dengan nilai mencecah AS$10.3 bilion ($13.9 bilion).
Sepanjang 2023 sahaja, PPATK mengesan lebih 159 juta transaksi melibatkan judi dalam talian dan jika digabungkan dengan tahun-tahun terdahulu, jumlahnya boleh mencecah lebih AS$12.8 bilion.
Sebelum ini, PPATK menyatakan transaksi berkaitan judi dalam talian sepanjang 2017 hingga 2022 adalah AS$12.2 bilion.
Menurut agensi tersebut, transaksi judi dalam talian itu melibatkan aliran dana untuk tujuan pertaruhan, bayaran kemenangan, kos penganjuran perjudian, pemindahan antara rangkaian ‘bookie’ dan transaksi didakwa pengubahan wang haram.
Menyedari akan masalah sosial itu, Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia telah melancarkan kempen besar-besaran terhadap perjudian dalam talian, menyekat sebanyak 2,945,150 laman sesawang perjudian dari Julai 2023 hingga 13 Jun 2024.
Kementerian itu turut menangani 16,596 kes kandungan perjudian yang menyusup ke wadah pendidikan dan 18,974 di laman sesawang pemerintah serta mendesak penutupan 555 akaun e-dompet yang dikaitkan dengan kegiatan perjudian haram.
Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Encik Budi Arie Setiadi, dalam satu kenyataan pada 15 Jun berkata tindakan tegas itu diambil di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pertumbuhan pesat perjudian dalam talian dan kesannya terhadap masyarakat.
Kementerian itu juga mengeluarkan amaran keras kepada wadah digital utama, termasuk X, Telegram, Google, Meta dan TikTok, bagi menekankan potensi denda sehingga 500 juta rupiah setiap kandungan bagi ketidakpatuhan, manakala Penyedia Perkhidmatan Internet yang gagal bekerjasama berisiko kehilangan lesen mereka.
“Kesan negatif perjudian dalam talian sangat mendalam, mempengaruhi ekonomi, struktur sosial kita dan bahkan mengakibatkan tragedi peribadi,” kata Encik Budi Arie.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Dr Hadi Tjahjanto, melahirkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perjudian dalam talian, terutama yang melibatkan pelajar sekolah.
Beliau juga menyatakan perubahan kaedah permainan daripada menggunakan kredit dan wang tunai kepada menggunakan pelayan luar negara sejak 2023.
Menurutnya, sejak 2018, sebanyak setengah juta akaun perjudian berjaya dibanteras dan pihaknya mengadakan pemantauan siber setiap hari bagi mengekang jenayah itu, lapor Antara.
Kenyataan itu dikeluarkan bertujuan menjawab kebimbangan masyarakat mengenai kebenaran permohonan judi dalam talian termasuk menghalang aplikasi lain seperti PayPal.
Beliau menegaskan, tiada ruang terhadap mana-mana kegiatan perjudian dalam talian di negara ini kerana jelas melanggar undang-undang.
Pemerintah Indonesia turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani kes perjudian dalam talian, melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi termasuk Interpol bagi menangani kes rentas sempadan.
Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat (Kominfo) memaklumkan pasukan petugas itu akan beroperasi di bawah penyelarasan Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-Undang dan Keselamatan.
Terdiri daripada wakil Kominfo, Lembaga Perkhidmatan Kewangan (OJK), Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) dan polis, pasukan petugas itu akan memberi tumpuan kepada usaha menyeluruh untuk membanteras perjudian dalam talian.
“Kominfo akan menyelia ruang digital, OJK akan menguruskan akaun, PPATK akan mengendalikan aliran dana dan polis akan menjalankan tugas tangkapan dan siasatan,” kata Ketua Pengarah Penerangan dan Komunikasi Awam kementerian itu, Encik Usman Kansong.
Encik Usman berkata cabaran berterusan termasuk ketidakupayaan OJK untuk menyekat akaun luar negara dan kesukaran kementerian untuk menapis pelayan dalam bidang kuasa asing.
Kementerian itu berjaya mendedahkan pelayan perjudian dalam talian yang beroperasi di Filipina dan Kemboja, khusus menyasarkan warganegara Indonesia pada Oktober 2023.
Malah Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo pada 12 Jun merayu kepada orang ramai agar berhenti bermain judi sama ada secara luar talian atau dalam talian, kerana ia membahayakan keadaan kewangan dan masa depan mereka.
Encik Jokowi yang merupakan ketua negara republik itu turut memetik beberapa kes yang berlaku di mana terdapat ramai penduduk yang kehabisan duit dan terjadinya kes perceraian akibat daripada kegiatan perjudian itu.
“Perjudian bukan sekadar mempertaruhkan wang, bukan sekadar permainan yang menyeronokkan dengan hadiah, tetapi ia mempertaruhkan masa depan diri kita, keluarga kita dan anak-anak kita,” tegasnya.
Beliau dalam pada itu menegaskan pihaknya akan terus memerangi kegiatan perjudian dalam talian, dengan pihak Menteri Komunikasi dan Informasi negara itu menurunkan lebih 2.1 juta laman sesawang perjudian dalam talian.
“Pasukan petugas perjudian dalam talian, yang terdiri daripada beberapa kementerian turut akan ditubuhkan tidak lama lagi dalam usaha untuk mempercepatkan pembasmian perjudian dalam talian.
“Kesedaran dan pengetahuan adalah bentuk pertahanan paling penting dalam memerangi kegiatan perjudian.
“Oleh itu, saya mengajak semua ketua agama, ketua masyarakat, dan komuniti untuk mengingatkan dan menjaga antara satu sama lain dan melaporkan sekiranya terdapat tanda-tanda aktiviti perjudian dalam talian,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat di negaranya supaya menyimpan wang mereka atau menggunakannya sebagai modal perniagaan dan bukannya untuk berjudi.
Ini di samping menekankan bahawa kecenderungan seseorang untuk berjudi boleh menyebabkan individu tersebut melakukan jenayah dan keganasan yang boleh mengakibatkan kematian. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg