SURAKARTA: Agensi pembanteras pengganasan Indonesia mencadangkan pengurangan hukuman penjara bekas anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang mengisytiharkan sokongan terhadap pembubaran kumpulan itu, bagi menarik lebih ramai militan menyerah diri kepada pihak berkuasa.
Ketua Badan Pencegahan Pengganasan Kebangsaan (BNPT) Indonesia, Encik Eddy Hartono, berkata pihaknya merancang mengesyorkan pengurangan hukuman bagi lebih 180 individu kepada kementerian imigresen dan penjara, lapor The Straits Times.
Beliau, bagaimanapun, tidak menjelaskan bila perkara itu akan dilaksanakan.
“Kami merayu kepada semua bekas anggota JI supaya menjadi contoh dan hidup sebagai rakyat yang menghormati toleransi beragama,” kata Encik Eddy dalam satu majlis di Surakarta, atau Solo, pada 21 Disember.
Ditubuhkan pada 1993, JI adalah sekutu Asia Tenggara bagi pertubuhan militan Islam Al-Qaeda dan berada di belakang beberapa serangan maut di Indonesia, termasuk pengeboman Bali pada 2002.
Dalam ucapannya, Encik Eddy menyebut dua bekas pemimpin kanan JI, Abu Rusdan dan Para Wijayanto, yang memainkan peranan penting dalam meyakinkan anggota lain supaya menyokong pembubaran kumpulan itu.
Beliau berkata mereka, yang sedang menjalani hukuman penjara, akan mendapat perhatian khusus apabila mereka memfailkan parol, atau pembebasan sebelum tamat menjalani tempoh hukuman penjara.
Di bawah undang-undang Indonesia, banduan layak boleh mendapat parol jika mereka telah menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman mereka.
Para dan Rusdan melakukan lawatan ke seluruh negara melalui persidangan video dari bilik penjara mereka, dengan bantuan skuad antipengganasan polis negara Indonesia, Detasmen 88, yang lebih dikenali sebagai Densus 88.
Dalam pertemuan yang diadakan oleh Densus 88, kedua-dua bekas pemimpin JI itu menggesa bekas rakan seperjuangan mereka supaya tidak bersatu semula atau mengangkat senjata dalam sembarang sel ekstremis lain.
Acara Surakarta itu dihadiri lebih 1,200 bekas anggota JI secara bersemuka dan 6,800 dalam talian, yang berikrar taat setia kepada Indonesia dan komited untuk meninggalkan kepercayaan pengganasan mereka sebelum ini.
Ia dianjurkan oleh Densus 88, yang berkata anggota kumpulan itu telah menyerahkan pelbagai peralatan dan senjata, termasuk enam senjata api, 40 kilogram bahan letupan dan 12 peledak bom.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg