KEPULAUAN Riau (Kepri), termasuk Batam dan Bintan, bersedia dibuka semula kepada pelancong dari negara jiran, sedang jangkitan Covid-19 di kawasan itu sudah berkurangan dan kini stabil.
Demikian menurut Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Encik Sandiaga Uno, yang berkata ada rancangan membuka semula kawasan pelancongan di Nongsa di Batam dan Lagoi di Bintan pada 21 April.
Ini bermakna Batam dan Bintan mungkin dibuka lebih awal daripada Bali, yang dijangka dibuka semula pada Jun atau Julai.
"Batam dan Bintan jauh lebih bersedia," kata Encik Sandiaga, selepas mengadakan satu mesyuarat bersama pegawai Batam Sabtu lalu, lapor The Straits Times.
Langkah membuka semula Kepri akan membuka laluan bagi Indonesia mempunyai 'koridor perjalanan selamat' dengan Singapura, kata Encik Sandiaga lagi.
Apabila dihubungi Berita Harian, seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura tidak dapat memberi komen tentang rancangan itu.
Di Parlimen awal bulan ini, Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura dan Indonesia terus bekerjasama dalam pemulihan daripada pandemik Covid-19.
Perjalanan selamat merupakan antara bidang kerjasama antara dua negara itu, selain kesihatan awam, pertumbuhan ekonomi, pelaburan, dan kewangan, kata Dr Balakrishnan semasa perbahasan belanjawan MFA.
Singapura dan Indonesia melancarkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) pada Oktober tahun lalu untuk menyambung kegiatan perniagaan dan pertukaran antara rakyat secara selamat.
"Meskipun RGL itu buat masa ini dihentikan, kami menantikan untuk bekerjasama dengan Indonesia bagi menyambungnya apabila kedua-dua pihak bersedia berbuat demikian dan pandemik ini lebih terkawal," kata Dr Balakrishnan pada waktu itu.
Bagi pihak Indonesia, Encik Sandiaga berkata sempadan antarabangsa negara itu mungkin dibuka secara bertahap, bergantung sejauh mana pelbagai rantau dapat mengawal virus tersebut.
"Angka jangkitan Covid-19 di Kepulauan Riau telah merosot dan menjadi stabil, dan di dua kawasan pelancongan Nongsa dan Lagoi, tidak ada jangkitan baru.
"Kami berharap dapat terus memastikan ia kekal rendah dan terkawal," katanya.
Pelancong yang memasuki Indonesia menerusi wilayah itu harus menunjukkan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) negatif, dan perlu diperiksa menggunakan GeNose, sistem ujian pernafasan Covid-19, apabila tiba di negara itu.
Encik Sandiaga berkata teknologi maklumat akan digunakan untuk menjejak pergerakan pelancong.
Sebagai sebahagian persiapan bagi koridor perjalanan yang mungkin diadakan dengan Singapura, pemerintah Indonesia telah meningkatkan usaha vaksin di Batam dan Bintan, dan menyasarkan memvaksin 30,000 pekerja pelancongan menjelang bulan depan.
Berucap di Parlimen awal bulan ini juga, Menteri Kedua Ehwal Luar Singapura, Dr Maliki Osman, akur banyak peluang kerjasama terdapat di wilayah Kepri, terutamanya di Batam, tempat pelaburan Singapura berjumlah AS$132 juta ($177 juta) dalam tiga suku pertama 2020.
"Singapura juga merupakan negara pelabur terbesar projek-projek di Batam, dengan jumlah pelaburan dalam 625 projek.
"Singapura teruja meneruskan pertalian erat dengan para pemimpin wilayah dan kami harap dapat memulakan kembali pertukaran menerusi lawatan fizikal apabila keadaan lebih mengizinkan," ujar Dr Maliki waktu itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg